Pages
▼
Wednesday, November 7, 2012
Terminal Bas Dan Teksi Maran Perlu Penambahbaikan
MARAN - Orang ramai memohon pihak Majlis Daerah Maran (MDM) mengambil tindakan sewajarnya mengatasi beberapa kesulitan yang dihadapi mereka ketika menggunakan kemudahan di Terminal Bas dan Teksi Bandar Maran, di sini.
Seorang pengguna, Mohammad Abdul Samad, 35, berkata, walaupun sudah dua tahun beroperasi, terminal itu dikatakan masih ‘terpencil’ berikutan lokasinya sepi daripada kunjungan orang ramai.
Menurutnya, kemudahan tandas yang disediakan tidak mesra pelanggan apabila dibuka dan ditutup tanpa waktu khusus.
“Kadangkala tandas dibuka dan tidak sampai waktu petang, ia sudah ditutup. Biasanya dari jam 10 pagi hingga 2 petang sahaja, sedangkan terminal ini beroperasi sehingga lewat malam kerana masih ada perjalanan bas yang dijadualkan, malah bas henti-henti yang terakhir jam 6 petang.
“Tandas adalah kemudahan penting di setiap terminal. Penumpang bas atau teksi biasanya akan mencari tandas dahulu sebaik sampai di perhentian,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohammad berkata, difahamkan, tandas di terminal itu diuruskan seorang peniaga yang turut menjalankan perniagaan berdekatan.
Katanya, jadual waktu tandas dibuka dan ditutup bergantung kepada tempoh perniagaan peniaga itu beroperasi.
“Saya harap MDM menetapkan satu tempoh khusus untuk operasi tandas ini, sekurang-kurangnya sehingga jam 10 malam demi keselesaan orang ramai.
“Terminal ini jauh dari kawasan tumpuan bandar dan tandas terdekat pula terletak di Pasar Besar Bandar Maran iaitu sejauh kira-kira satu kilometer,” katanya.
Surau jadi ‘tandas’
Seorang pengawal keselamatan terminal itu, Saad Musa berkata, dia yang memulakan kerja seawal jam 7 malam hingga 7 pagi kecewa apabila terdapat segelintir pengguna tidak bertanggungjawab melepaskan 'hajat' di surau gara-gara tandas tidak beroperasi.
Menurutnya, perbuatan itu dipercayai berlaku pada siang hari.
“Peniaga di sini terpaksa memantau keadaan surau bagi mengelak perkara sama berulang dan mereka juga sering membersihkan surau berkenaan.
“Apabila tandas ditutup, pengguna yang tidak dapat menahan untuk ke tandas akan terdesak melakukan perbuatan biadab itu,” katanya.
Air bertakung
Orang awam, Salleh Abdullah, 29, berkata, reka bentuk bumbung terminal yang tidak sesuai, ditambah tiada dinding menyebabkan kawasan ruang terminal itu bertakung air akibat tempias hujan.
Menurutnya, terdapat juga beberapa kebocoran di bahagian bumbung yang turut meninggalkan kesan kotor pada tiang terminal itu.
“Perkara ini sudah lama berlarutan dan setiap kali hujan, pasti permukaan lantai ini berair dan lebih teruk jika hujan lebat berserta angin.
“Situasi ini memberi rasa tidak selesa kepada orang ramai yang perlu sentiasa beralih tempat mencari kawasan terlindung dan bersih,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Teksi Maran, Ibrahim Mohammad berkata, kawasan tempat letak teksi yang rendah daripada jalan menyebabkan air hujan bertakung
Menurutnya, masalah itu berlaku kerana tiada saluran air keluar ke longkang.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu teksi terpaksa meletakkan kenderaan mereka hampir dengan jalan raya untuk keselesaan penumpang.
“Pemandu sendiri terpaksa meredah air ke teksi masing-masing kerana tiada pilihan memandangkan kawasan disediakan sempit dan terhad.
“Persatuan sudah maklumkan kepada MDM mengenai masalah ini, namun masih tiada tindakan. Sesiapa yang berada di terminal ini ketika hujan memang tidak akan rasa selesa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor