Pages

Friday, November 2, 2012

Kehebatan Islam Atasi Liberalisasi Dan Pluralisasi Agama


ISTILAH 'liberalisme' pertama kali digunakan untuk mendefinisikan ideologi politik di Eropah pada akhir abad ke-19. Sebagai satu ideologi politik, liberalisme tidak mempunyai sebarang definasi yang tepat walaupun konsep liberalisasi ini menekankan kepentingan toleransi, hak individu dan kebebasan bagi menjamin corak kehidupan pluralisme.

Konsep 'liberalisme' dan 'pluralisme' yang diperbahaskan oleh ahli-ahli falsafah Barat mempunyai kaitan dengan permasalahan agama dan politik yang wujud di negara barat.

Konsep 'liberalisme' ini mula dibicarakan ketika berlaku peristiwa reformasi di Eropah dalam abad ke-16. Ketika ini gerakan untuk reformasi keseluruhan institusi gereja di Eropah mendapat sokongan masyarakat akibat daripada kelemahan sistem pengurusan dan pentadbiran gereja. Masyarakat menuntut kebebasan daripada cengkaman gereja yang mempunyai kuasa untuk memungut cukai daripada rakyat dan penglibatan mereka dalam urusan politik negara. Hasil reformasi itu gereja dipisahkan daripada urusan politik dan kenegaraan.

Di antara isu-isu yang dibahaskan oleh ahli falsafah Barat berkaitan 'liberalisme ' adalah kebebasan bisikan hati mengenai agama dan kebebasan pendapat atau fikiran berkaitan dengan urusan lain. Mereka juga membicarakan tentang jaminan atau perlindungan hak-hak individu daripada dimonopoli oleh golongan tertentu dalam negara. Di antara hak individu yang dibincangkan oleh golongan liberal ini adalah kebebasan memberi pendapat terutamanya berkaitan agama. Kebebasan memberi pandangan mengenai agama secara perlahan-lahan bertukar kepada pengertian kebebasan bersuara.

Bagi mempertahankan kebebasan individu golongan liberal mengasaskan konstitusi kerajaan berkaitan warganegara, peraturan perundangan, perwakilan demokrasi dan pasaran ekonomi. Hasrat perjuangan ini adalah untuk menghasilkan lebih besar faedah kepada sebilangan besar masyarakat (utilitarianism) dengan menyediakan falsafah yang boleh memperkukuhkan bentuk dominasi liberalisme dalam abad ke-19. Golongan liberal merupakan agen untuk memperluaskan konsep liberalisasi secara universal dan memimpin pergerakan untuk mendapat hak mengundi secara universal, menghapuskan perhambaan, mereformasikan penjara, menuntut persamaan hak untuk wanita, minoriti, orang kurang upaya dan homoseksual.

Tidak dapat dinafikan terdapat juga kebaikan dan nilai kemanusiaan yang diperjuangkan oleh golongan liberal ini. Bagaimanapun perjuangan golongan ini tidak diterima Islam kerana perjuangan mereka keterlaluan sehingga mengetepikan aspek kerohanian dan keTuhanan. Konsep 'political liberalism' dan' religious pluralism' yang diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah Barat bertentangan dengan Islam kerana ideologi tersebut memisahkan ajaran agama dengan hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran. Sedangkan Islam membicarakan setiap aspek kehidupan sama ada berkaitan kepercayaan, perundangan, ekonomi, politik , sosial dan akhlak.

Selain itu, Islam menggalakkan umatnya berijtihad (menggunakan akal dan formula tertentu) jika permasalahan berkaitan kenegaraan, sosial dan ekonomi tidak didapati di dalam al-Quran dan Hadis. Penggunaan akal atau ijtihad perlu berpandukan kepada kaedah dan disiplin tertentu yang digariskan oleh para sarjana Islam. Ini menunjukkan agama Islam adalah moderat dan memberi kebebasan kepada umatnya menggunakan akal bagi mengatasi permasalahan negara dan kemasyarakatan.

Setiap perkara yang dituntut oleh golongan liberal Barat berkaitan hak individu, jantina, warga negara, minoriti dan agama sudah diperjelaskan oleh Allah dan Rasul sejak awal abad ke-7 Masihi. Agama Islam tidak memerlukan reformasi akidah, syariah dan akhlak seperti mana berlaku kepada agama tertentu di dunia ini kerana Islam membicarakan setiap aspek kehidupan sama ada berkaitan hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk Allah yang lain. Kesemuanya ini termaktub dalam al-Quran dan hadis. Kejahilan dan kurang arif dalam Islam adalah faktor utama sebahagian umat Islam mengagungkan konsep 'liberalisasi politik' dan 'pluralisasi agama' yang diperkenalkan oleh ahli falsafah barat.

Golongan liberal kurang memahami sensitiviti masyarakat beragama. Kebebasan tanpa batasan yang diperjuangkan oleh mereka bukan sahaja menimbulkan pelbagai kesan yang boleh menjejaskan fitrah kejadian manusia malah ia juga boleh memusnahkan ajaran fundamental bagi setiap agama. Perjuangan mereka hanya tertumpu kepada aspek material dan mengetepikan perkara berkaitan kerohanian.

Sedangkan manusia dicipta dalam bentuk material (tubuh badan) dan rohani (jiwa/roh). Kehidupan manusia tidak akan mencapai kebahagiaan hakiki jika salah satu daripada aspek ini diabaikan. Hasil perjuangan golongan liberal, maka wujudlah golongan bertuhankan hawa nafsu tanpa batasan yang dikenali sebagai masyarakat 'hedonistic' yang tiada haluan dan pedoman dalam kehidupan. Akhirnya wujud kumpulan gay dan lesbian yang bersikap di luar fitrah kemanusiaan.


Golongan liberal yang terlalu ghairah dengan konsep pluralisasi agama menuntut masyarakat beragama supaya mengintegrasikan nilai baik dalam kesemua agama di dunia ini untuk dijadikan sebagai panduan kehidupan sama ada kepercayaan, budaya dan etika. Tidak kesemua agama perlu direformasikan seperti mana dituntut oleh golongan 'pluralisasi agama'. Agama Islam tidak perlu direformasi dan diintegrasi dengan agama lain untuk dijadikan sebagai agama yang ideal.

Islam memahami dan menghormati sensitiviti masyarakat beragama. Setiap manusia yang menganuti agama meyakini bahawa agama mereka adalah benar dan diterima Tuhan. Persepsi begini merupakan lumrah kepada setiap penganut agama di dunia ini. Menghina dan mempersendakan agama lain dan mengintegrasikan satu agama dengan agama lain adalah diharamkan oleh Islam.

Islam menghormati agama lain dan menolak kesatuan agama seperti mana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud -" Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agama aku". Berdasarkan kepada prinsip ini maka Islam memperakui hak dan kebebasan beragama kepada orang bukan Islam. Prinsip kebebasan beragama ini diperkenalkan oleh agama Islam sejak awal abad ke-7 Masihi.

Selain itu, Islam juga memperkenalkan prinsip kemanusiaan yang universal seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud, " Tiada paksaan dalam agama". Ayat ini hanya dikhususkan kepada orang bukan Islam di mana orang Islam diharamkan sama sekali memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam.

Berdasarkan dua prinsip ajaran Islam ini maka umat Islam mampu membina satu tamadun berorientasikan ajaran Islam di mana dalam empayar Islam warganegara beragama Islam dan bukan beragama Islam hidup dengan aman dan makmur. Kepelbagaian bangsa dan agama merupakan ciri bandar metropolitan dalam empayar Islam.

Perkara utama yang perlu dilakukan oleh umat Islam ialah mereformasikan pemikiran dan persepsi kehidupan seharian mereka berlandaskan kepada ajaran Islam. Pemikiran radikal dan fanatik perlu direformasikan supaya minda mereka mampu melihat realiti kehidupan masyarakat secara universal.

Kejahilan terhadap intisari ajaran Islam dan sejarah keutuhan sistem pemerintahan dan pentadbiran dalam empayar Islam ketika umat Islam menerajui tamadun gemilang merupakan faktor utama segelintir umat Islam mudah terpengaruh dengan pemikiran golongan liberal barat. Oleh itu, umat Islam perlu menolak pemikiran liberal yang boleh menghasilkan masyarakat bertuhankan material dan hawa nafsu.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor