Pages
▼
Monday, November 12, 2012
Belia Felda Perlu Bijak Memilih
Generasi belia Felda diingatkan menolak tanggapan kononnya tiada sebarang perbezaan yang akan berlaku kepada rakyat sekiranya mana-mana pihak selain kepimpinan yang ada ketika ini dipilih untuk memegang tampuk pemerintahan negara.
Ingatan itu disampaikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad yang menyatakan tanggapan itu adalah tidak benar dan harus ditolak sama sekali kerana kefahaman tersebut tidak memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada rakyat dan negara.
Ini kerana, katanya, kerajaan ada ketika ini merupakan kepimpinan yang terbukti melaksanakan semua janji kepada rakyat selain melaksanakan pelan pembangunan yang baik kepada pertumbuhan negara dalam pelbagai bidang dan ia dilihat berbeza dengan pihak lain yang dilihat menawarkan sesuatu tidak munasabah.
"Saya harap generasi belia Felda jangan sesekali menganggap sesiapa pun menjadi kerajaan keadaannya serupa sahaja, jangan ada pemikiran seperti itu. Sebaliknya kita terus bersama-sama dan menyokong kepimpinan negara yang ada pada hari ini.
"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pelbagai usaha untuk meninggikan taraf hidup rakyat dan pembangunan negara di bawah program tranformasi termasuk pengenalan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) begitu juga dengan NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara).
"Malah kepada warga Felda sendiri, kepimpinan negara hari ini telah menyediakan pelbagai program bagi memastikan setiap peneroka mendapat manfaat yang sewajarnya sehinggalah kepada generasi baharu Felda yang ada pada hari ini," katanya ketika berucap pada majlis penutup program Himpunan Generasi Baharu Felda (HGBF) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Tambah Isa, berbeza dengan pembangkang, mereka dilihat menawarkan pelbagai janji percuma kepada rakyat yang janji itu bukan hanya tidak munasabah dilaksanakan, tetapi turut memberi kesan buruk kepada negara pada masa depan.
"Jangan kita terpengaruh dengan konsep ini yang kononnya apabila kita dapat sesuatu percuma itu, kita akan senang. Sebenarnya semakin masalah yang kita akan hadapi, bayangkan berapa banyak kerajaan akan menanggung subsidi jika janji pembangkang ini dilaksanakan," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, selain merasmikan penutupan program MGBF, Isa turut menyampaikan hadiah kepada kepada pasukan menjadi johan dalam Pertandingan Sukan Teras sempena perhimpunan tersebut yang bermula sejak Jumaat lalu.
Pasukan Alor Setar dan Segamat (A) masing-masing muncul juara dalam pertandingan sukan bola jaring dan futsal sempena pertandingan itu dan kedua-dua pasukan membawa pulang hadiah wang RM1,500 termasuk pingat.
Selain itu, pasukan Johor Bahru (B) meraih johan dalam acara paintball dan membawa pulang hadiah wang RM1,500 manakala pasukan Tenang Besut menjadi juara dalam aktiviti Xplorace dan membawa pulang hadiah wang RM1,000.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor