Pages

Thursday, September 13, 2012

Transformasi Sg lembing


Menyingkap sejarah lalu, Sungai Lembing di sini, pernah menjadi sebuah bandar terkaya dan pengeluar utama bijih timah di Pahang sehingga zaman kejatuhannya pada 1986.

Selepas zaman kejatuhannya, bandar Sungai Lembing dikenali sebagai bandar mati kerana tiada pembangunan seperti dahulu. Majoriti penduduknya terdiri daripada golongan warga emas kerana generasi muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan memperoleh pendapatan tinggi.

Sebagai menghargai dan mengekalkan lambang Sungai Lembing, kerajaan Negeri kini dalam usaha membaik pulih terowong lombong bijih timah untuk tatapan pelancong.

Pengarah Pelancongan Malaysia cawangan Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, selain muzium Sungai Lembing, terowong lombong bijih timah berkenaan kini sedang dalam proses baik pulih untuk dipamerkan kepada pengunjung.

"Kerja membaik pulih lombong sepanjang 300 meter yang dilaksanakan dua tahun lalu dijangka siap hujung tahun ini. Projek baik pulih berkenaan ini amat mementingkan ciri-ciri keselamatan di samping mengekalkan keadaan asalnya.

"Saya yakin lombong berkenaan mampu menarik orang ramai terutama generasi muda untuk mengimbau kembali sejarah aktiviti perlombongan di Sungai Lembing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, terowong itu turut dihiasi patung dan papan kenyataan yang menggambarkan aktiviti perlombongan sebenar suatu ketika dahulu.

Tambahnya, sejak lima tahun lalu dianggarkan sebanyak RM20 juta dibelanjakan kerajaan negeri untuk pembangunan di kawasan itu, sekali gus menarik lebih ramai pelancong termasuk pelancong asing.

Dalam pada itu, bekas pekerja lombong tersebut, Muhammad Sharif Muhammad, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Tam menyifatkan suasana di Sungai Lembing kini kembali ceria dengan adanya muzium Sungai Lembing.

Beliau yang berpengalaman sebagai 'penjaga kiew' berbangga apabila semua artifak dahulu disimpan di muzium itu untuk tatapan generasi akan datang.

"Kerja saya sebagai 'penjaga kiew' ataupun penjaga lif yang bertanggungjawab menurunkan pekerja dalam pelbagai unit sehingga 1,400 kaki ke bawah lombong.

"Kerja ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal supaya mereka yang menaiki 'kiew' tidak terhempas ke bawah lombong dan saya antara kumpulan terakhir yang bekerja di lombong berkenaan bermula 1970 sehingga 1986.

"Jadi, dengan adanya muzium ini, saya bangga kerana semua artifak yang saya pernah nampak dahulu masih disimpan di sini untuk tatapan pelancong," katanya.

Bagi seorang lagi bekas pekerja lombong tersebut, Wong Kong Chan, 75, pengalaman 30 tahun bekerja bermula pada 1950 sebagai juruteknik dengan bayaran 90 sen sehari masih segar dalam ingatannya.

"Saya bekerja sebagai juruteknik di bengkel kerana ketika itu pengusahanya mahu pekerja membaiki alat jentera bijih timah.

"Jika tiada juruteknik, pengusahanya mungkin akan mengalami kerugian kerana terpaksa mengimport alat gantian daripada London yang memakan masa selama tiga ke enam tahun untuk menerimanya," katanya.

Mengenai suasana zaman dahulu di Sungai Lembing katanya, bandar El-Dorado itu dulu didiami enam kaum iaitu Melayu, Cina, India, Inggeris, Sikh dan Orang Asli, namun kini hanya didiami oleh Melayu, Cina dan Orang Asli sahaja.

Tambahnya, dia mengharapkan perubahan ketara dapat dilakukan di Sungai Lembing supaya generasi muda tidak berhijrah.

Katanya, dia berbangga kerana kerajaan melakukan perubahan untuk meningkatkan jumlah pelancong dengan adanya muzium dan menaik taraf terowong di lombong bijih timah itu.

"Mungkin telah tiba masanya Sungai Lembing kembali bangkit memulakan kehidupan baru selepas zaman kejatuhannya sejak 26 tahun lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor