Pages

Wednesday, September 26, 2012

Port Judi Diserbu


TEMERLOH - Polis melumpuhkan kegiatan haram lapan premis judi yang beroperasi tanpa lesen sejak seminggu lalu dalam serbuan berasingan di sekitar Mentakab bermula 17 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 98 unit komputer yang dipercayai digunakan sebagai mesin judi bernilai RM30,000.

Menurutnya, polis turut menahan 21 individu berusia antara 18 hingga 66 tahun termasuk lapan penjaga premis bagi membantu siasatan.

"Polis bagaimanapun tidak menemui wang tunai kerana kesemua premis terbabit baru seminggu beroperasi.

“Kita menganggap ini fenomena baru kerana sepanjang tiga tahun lalu belum ada kegiatan judi yang beroperasi secara haram berleluasa seperti ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.

Zundin berkata, modus operandi mereka ialah dengan beroperasi di sebalik perniagaan kafe siber, selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu penggera khas di pintu masuk.

“Kita telah membuka kertas siasatan terhadap kesemua 21 yang ditahan dan mereka akan didakwa di bawah Seksyen 4 (B) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 4(1) (b) Enakmen Hiburan 1993. Barang-barang kes akan dihantar ke bahagian forensik dan pakar judi mesin, selanjutnya kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya. Kesemua yang ditahan kini dibebaskan atas jaminan polis,” katanya.

Zundin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan yang secara tiba-tiba beroperasi secara serentak di kawasan bandar Mentakab. Menurutnya, pihaknya akan mengenalpasti mereka yang terlibat bagi menghapuskan kegiatan judi yang mampu meruntuhkan institusi keluarga.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor