Pages
▼
Tuesday, September 11, 2012
Pembangkang Sengaja Permainkan Rakyat
Pembangkang menggunakan strategi sama dalam isu lombong emas di Bukit Koman, Raub dengan isu kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng iaitu dengan memutar belit kebenaran dalam usaha menanam kebencian penduduk terhadap kerajaan.
Seperti projek Lynas, mereka rancak menyebarkan dakyah dan maklumat tidak tepat dengan mendakwa bahan kimia sianida yang digunakan untuk memproses emas oleh Raub Australian Gold Mining (RAGM) membahayakan kesihatan penduduk.
Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang Mendukung Agenda Untuk Nasional (Daun), Wan Emril Wan Embong berkata, pembangkang sengaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat seperti dilakukan kumpulan anti-Lynas sebelum ini.
"Namun, usaha mereka sia-sia kerana isu Lynas yang mereka canangkan sebelum ini tidak berasas dan tidak bersandarkan bukti serta kajian menyeluruh," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Wan Emril, pihaknya akan melakukan gerakan kesedaran besar-besaran bersama NGO di Pahang Barat seperti Lipis dan Bentong untuk menolak anasir luar yang sengaja memutarbelitkan fakta berhubung projek itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, pembangkang sengaja mempolitikkan isu lombong emas milik RAGM di Bukit Koman bagi mendapatkan simpati masyarakat terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
"RAGM sudah beroperasi sejak 2009 dan kenapa baru kini mereka memainkan isu tersebut iaitu ketika rakyat Malaysia sedang menanti pilihan raya umum?
"Saya berharap masyarakat terutama penduduk di Bukit Koman tidak terpedaya dengan tohmahan itu kerana kerajaan telah menetapkan kriteria yang cukup ketat mengenai operasi perlombongan emas terutama dari aspek alam sekitar dan keselamatan penduduk," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, lombong berkenaan hanya dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan pihak berwajib.
"Penduduk tempatan juga sebenarnya tidak perlu risau kerana kerajaan telah memberi jaminan akan sentiasa membuat pemantauan dan kajian terperinci dalam memastikan keselamatan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor