Pages

Thursday, September 13, 2012

Mahasiswa Perlu Berfikiran Matang


Setiap mahasiswa perlu mempunyai pemikiran yang rasional, matang dan kritis dalam usaha melahirkan generasi berketerampilan pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, mereka perlu menilai dan melihat sesuatu perkara dari pelbagai perspektif serta dimensi tanpa dipengaruhi emosi.

"Sebagai mahasiswa mereka perlu bebas daripada bersikap buruk sangka, berfikiran sempit dan dendam kesumat, sebaliknya perlu lebih rasional dalam membuat keputusan.

"Mereka bukan lagi pelajar sekolah tetapi pelajar universiti yang perlu berdikari dan berfikiran lebih bernas serta melihat sesuatu perkara dalam pelbagai sudut," katanya ketika merasmikan Minggu Induksi Siswa Baru sesi 2012/2013 di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Turut hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Menurut Adnan, mahasiswa juga perlu mengikuti perkembangan semasa dengan memperbanyakkan bahan bacaan seperti buku-buku, majalah dan jurnal ilmiah.

"Selain memperbanyakkan bahan bacaan, mereka perlu meningkatkan kemahiran diri terutama dengan menguasai beberapa bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris. Ini kerana jika mereka mampu menguasai pelbagai bahasa, ia akan memudahkan mereka memasuki pasaran pekerjaan apabila tamat belajar kelak," katanya.

Menurutnya, mahasiswa boleh terlibat dalam politik tetapi dalam masa sama tidak mengabaikan pelajaran.

Sementara itu, Daing Nasir dalam ucapannya berkata, sesi pendaftaran pelajar baru kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila menerima seramai 61.2 peratus calon cemerlang yang memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.

"Pencapaian ini membuktikan UMP kini menjadi antara universiti pilihan utama sebagai mana yang dihasratkan pihak pengurusan melalui pelaksanaan Plan Strategik UMP 2011-2015," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor