Pages
▼
Wednesday, September 19, 2012
Kerajaan BN Pilihan Rakyat
Kecekapan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) mentadbir dan menguruskan negara ini membolehkan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik serta rakyat menjalani kehidupan dengan selesa.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, walaupun ada kelompok yang tidak berpuas hati dengan apa yang dicapai setakat ini namun semua itu berjaya ditangani dengan baik menerusi kebijaksanaan pemerintah.
Menurutnya, kerajaan yang memerintah pada masa ini sudah cukup baik dan berada di landasan yang betul.
"Oleh itu, rakyat tidak perlu bertindak sesuka hati untuk menukar kerajaan sedia ada kerana corak pemerintahan kerajaan BN memberi kesan positif kepada semua kaum.
"Tukar kerajaan bukan ibarat tukar baju. Ia tidak semudah itu. Rakyat perlu bijak sebelum membuat keputusan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia di Dataran Bentong.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun.
Beliau mengambil contoh bagaimana rakyat India yang pada mulanya tidak berpuas hati terhadap kerajaan parti Kongres telah memilih pembangkang pada pilihan raya negara itu.
Katanya, bagaimanapun akhirnya rakyat negara itu kembali menyokong Kongres setelah pembangkang ternyata tidak berupaya menjanjikan pemerintahan yang lebih baik dan cekap.
Tambah Adnan, keadaan sama berlaku di Indonesia, Taiwan dan Jepun yang pernah bertukar kerajaan tetapi akhirnya rakyatnya kembali menyokong parti asal.
Katanya, walaupun parti pembangkang bergabung di bawah satu pakatan tetapi mereka mempunyai ideologi yang bertentangan sekali gus menyebabkan tidak wujud kestabilan.
"Ia berbeza dengan komponen BN yang berpegang kepada satu matlamat iaitu membantu dan membaiki hidup rakyat serta membangun negara ini kepada tahap lebih baik pada masa depan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor