Pages
▼
Tuesday, September 18, 2012
Keganasan Bukan Ajaran Islam
UMAT Islam kini kecoh dengan tindakan seorang warga Mesir beragama Kristian Koptik, Nakoula Basseley Nakoula yang menjadi dalang menghasilkan filem Innocence of Muslims yang secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad SAW.
Dalam sedutan filem yang disiarkan menerusi YouTube yang skrip ditulis oleh Nakoula dan diarah pengarah filem lucah, Alan Roberts, Rasulullah SAW digambarkan tidur dengan ramai wanita.
Baginda juga didakwa terlibat dengan pembunuhan kanak-kanak, penipu, orang gila dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.
Ekoran penghasilan filem berkenaan, umat Islam mengadakan bantahan di seluruh dunia dan akibatnya Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya, Christopher Stevens dan tiga lagi rakyat negara itu dibunuh di dalam bangunan kedutaan di Benghazi.
Gambar-gambar kejadian yang berlaku pada 11 September seperti yang disiarkan dalam Internet menunjukkan pemuda Islam yang bengis sedang memukul Stevens, 52, yang pada wajahnya jelas menggambar ketakutan yang amat sangat.
Walaupun terdapat golongan ekstrem cuba mewajarkan pembunuhan duta terbabit khususnya Al-Qaeda yang awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan memuji perlakuan pemuda Libya itu, rata-rata pemimpin Islam di seluruh dunia mengutuk perbuatan berkenaan dan melahirkan perasaan simpati dengan nasib pegawai kerajaan yang tidak bersalah itu.
Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin misalnya menegaskan adalah tugas setiap umat Islam untuk menunjukkan akhlak yang baik, tidak menyerang kedutaan yang sepatutnya menjadi zon selamat dan melindungi pelawat serta tetamu asing.
Penegasan yang dibuat oleh Presiden Mesir itu sepatutnya membuatkan seluruh umat Islam kembali bermuhasabah adakah perbuatan belia-belia di Libya adalah akhlak yang sepatutnya ditunjuk oleh orang Islam?
Bolehkah kita berbangga sebagai agama yang menekan kepada sifat kasih sayang sekiranya akhlak kita tidak terjaga, emosi tidak terkawal dan nafsu menguasai akal.
Wajarkah tindakan melulu tersebut? Duta AS itu tidak kena mengena secara langsung dengan filem berkenaan tetapi telah dibunuh oleh perusuh-perusuh yang bersikap umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar.
Kita sangat marah apabila filem itu menggambarkan umat Islam sebagai pengganas, tetapi malangnya ada segelintir daripada kalangan kita sendiri yang mempamerkan perbuatan ganas kepada seluruh dunia.
Mengulas perkara itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad menasihatkan masyarakat di negara ini supaya tidak bertindak mengikut perasaan seperti yang dilakukan oleh rakyat Libya.
Beliau berkata, walaupun seluruh umat Islam marah dengan penghinaan yang ditunjukkan di dalam filem tersebut, namun bantahan perlulah melalui cara yang lebih berhikmah tanpa melibatkan kehilangan nyawa.
"Yang buat filem itu orang lain, namun duta AS di Libya yang dibunuh. Kita tidak boleh mengikut perasaan dengan mengambil tindakan menghukum mereka," katanya.
Menurut Sheikh Ismail, musuh-musuh Islam sering mencari jalan untuk menghina kesucian agama Islam, selain berusaha memecahbelahkan umatnya dengan pelbagai cara.
"Umat Islam harus bersatu dan mencari jalan sebaik-baiknya mengikut pertimbangan rasional bagi menangkis segala tohmahan dan penghinaan yang dilemparkan oleh musuh-musuh.
"Jadi kita jangan bertindak terburu-buru, apa yang perlu dilakukan adalah bersatu dan mencari jalan dengan penuh bijaksana, jangan tunjukkan kepada mereka bahawa kita lemah," tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI), Muhammad Noor Helmi Ibrahim yang senada dengan Sheikh Ismail berkata, seseorang Muslim tidak boleh mengikut hawa nafsu dan perasaan marah mereka sehingga berlakunya maki-hamun dan pembunuhan.
Beliau berkata, Abu Hurairah r.a, pernah memberitahu bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah."
"Pembunuhan duta AS 'dikatakan' atas dasar membela agama, tetapi adakah ini yang agama kita ajarkan?
"Pembunuhan ini seolah-olah 'mengiyakan' apa yang ingin mereka sampaikan kepada dunia mengenai Islam.
"Penerbitan filem ini berlaku kerana salah faham terhadap Islam. Pembunuhan duta tersebut juga berlaku akibat salah faham terhadap Islam," katanya.
Tambah beliau, umat Islam tidak harus terperangkap dengan taktik kotor musuh-musuh Islam yang mempunyai agenda tertentu dalam menghasil filem berkenaan.
"Penerbit filem ini menyatakan filem ini dijayakan melalui kutipan wang sebanyak AS$5 juta daripada 100 orang penderma berbangsa Yahudi.
"Benarkah kenyataan ini? Bagi yang pernah menonton video tersebut, adakah filem ini memakan belanja sebanyak itu? Filem tersebut berkualiti rendah dan dirakamkan hanya di dalam studio.
"Mengapa penerbit ingin mendedahkan mengenai penderma Yahudi di dalam filem yang jelas menghina Nabi Muhammad SAW?
"Dalam filem-filem box office Batman dan Spiderman, tidak pula didedahkan bangsa penaja filem tersebut. Kita perlu berhati-hati dengan permainan mereka!
"Mereka ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dan mahu sebahagian kita bertindak di luar kawalan. Banyak lagi taktik-taktik mereka dan kita perlu berwaspada supaya tidak menjadi fitnah kepada Islam," kata Muhammad Noor Helmi.
Kepada semua umat Islam di Malaysia, marilah kita setegas-tegasnya mengutuk pembunuhan duta AS dan individu-individu tidak bersalah yang lain.
Kita menyeru semua umat Islam yang cintakan keamanan dan kebebasan supaya tidak bertindak balas secara terburu-buru dan ganas.
Filem ini tidak wajar dibiarkan dimanipulasi oleh kumpulan pelampau Islam untuk mencetuskan lebih banyak keganasan.
Ingatlah penakluk Tartar yang kejam tertarik untuk menganut Islam bukan kerana kehebatan taktik peperangan tentera Islam atau takut dibunuh sebaliknya kerana kagum dengan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh pendakwah dan ahli sufi, Syeikh Jamaluddin al-Bukhari.
Kepada mereka yang masih merasakan membunuh duta AS sebagai tindakan wajar perlu menghayati kata-kata indah ahli sufi terkenal abad ke-13 dari Konya, Turki, Jalaluddin Rumi.
Dalam puisi indah yang dideklamasi semula oleh penyanyi terkenal AS, Madonna dalam album bertajuk A Gift of Love beliau menyebut mengenai perlunya kita sesama umat manusia saling menyemai sifat sayang-menyayangi antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor