Pages

Thursday, September 20, 2012

Isu Sianida Hanya Propaganda Pembangkang


Isu penggunaan sianida syarikat perlombongan emas di Bukit Koman, Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. (RAGM) yang dimainkan pembangkang bukanlah isu kesihatan sebaliknya propaganda mereka mendapatkan sokongan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ia bukanlah isu kesihatan tetapi isu politik kerana kajian telah dibuat berikutan bantahan penduduk pada peringkat awalnya.

"Pada masa itu kerajaan negeri meminta universiti tempatan dan Kementerian Kesihatan membuat kajian dan keputusannya adalah pengunaan sianida ini tidak akan memudaratkn kesihatan penduduk di sini.

"Tetapi pembangkang telah guna isu alam sekitar untuk mendapatkan sokongan rakyat. Mereka telah guna isu sianida di Raub dan sekarang isu Lynas di Kuantan untuk mendapat sokongan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Choon Siew Onn (DAP-Tras) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-12 di Wisma Sri Pahang.

Beliau memberitahu, masalah kesihatan yang kononnya berlaku di kawasan terbabit bukanlah disebabkan sianida tetapi masalah biasa yang turut berlaku di kawasan lain.

"Ia bukan soal kesihatan, ini cuma propaganda pembangkang meraih undi rakyat. Kita telah buat kajian mengenai perkara ini sejak sebelum kilang berkenaan dibuka lagi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Datuk Hoh Khai Mun berkata, sejak 2009 sehingga sekarang beberapa kajian dan pemerhatian dijalankan Jabatan Kesihatan bersama universiti tempatan.

"Penemuan kajian itu berbeza-beza bergantung kepada kaedah kajian dan masa dijalankan. Secara umumnya mereka yang mempunyai masalah penyakit kulit ialah antara 12 peratus sehingga 23 peratus.

"Bagaimanapun, masalah penyakit kulit itu bukanlah disebabkan sianida kerana tiada bukti menunjukkan bahan kimia tersebut menyebabkan penyakit kulit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor