Pages
▼
Tuesday, August 28, 2012
Sukan Tomoi Menjadi Tarikan
BANDAR TUN RAZAK - Sukan tomoi sudah tidak asing lagi di bandar ini, namun pembabitan peserta luar negara dalam sukan itu dapat memperkenalkan lagi Bandar Jengka sebagai lokasi berpotensi menjadi pusat pelancongan antarabangsa.
Penganjur, Muhammad Shafie Awang berkata, penyertaan peserta dari luar negara secara tidak langsung dapat memperkenalkan bandar ini di peringkat antarabangsa.
“Hasrat menjadikan tomoi sebagai antara daya tarikan pelancongan di Bandar Jengka pernah dinyatakan sendiri Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh.
“Bagi menyahut cabaran beliau, saya bekerjasama dengan persatuan tomoi kebangsaan untuk membawa peserta antarabangsa menyertai Kejohanan Tomoi Tempatan dan Antarabangsa di sini pada tahun ini,” katanya.
Dia berkata, kejohanan yang akan berlangsung pada 31 Ogos dan 1 September itu akan disertai peserta dari pelbagai negara antaranya Algeria, Thailand, Iraq, United Kingdom dan Iran.
“Peserta tempatan juga akan menyertai pertandingan itu antaranya dari Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan sebagainya. Ia secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat setempat untuk mengenali lokasi di Maran khususnya di Bandar Jengka dengan lebih dekat lagi,” katanya.
Selain itu katanya, antara daya penarik pertandingan tomoi pada kali ini apabila pesertanya terdiri daripada pemain bergred A.
“Saya yakin sambutan kali ini lebih menggalakkan berbanding sebelum ini di mana peminat sukan tomoi tidak akan kecewa apabila menontonnya nanti,” katanya.
Pertandingan tomoi itu akan diadakan di Balora Mastika, Bandar Jengka dan dijangka bermula sekitar jam 8 malam. Dalam pada itu, beliau mengharapkan jasa baik Majlis Daerah Maran untuk menyumbangkan tempat bagi menjadikan tomoi sebagai platform pelancongan ke bandar ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor