Pages

Tuesday, August 21, 2012

Rumah Terbuka Aidilfitri TPM Meriah


PAGOH - Lebih 10,000 orang penduduk Pagoh daripada pelbagai kaum membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Kompleks Seri Pekembar.

Kemeriahan Syawal jelas terasa seawal rumah terbuka bermula pada pukul 9 pagi dengan tetamu bersilih ganti memenuhi ruang dewan dan pekarangan Kompleks Seri Pekembar untuk menikmati pelbagai jenis juadah tradisional dan moden sehingga pukul 3 petang.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman; Ahli Dewan Negara, Senator Noriah Mahat; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Mohd. Ta'at; ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan ghazal dan lagu-lagu raya oleh Haziq AF selain mengambil kesempatan untuk bersalaman serta bergambar dengan Muhyiddin dan Noorainee.

Salah seorang daripada mereka, P. Rajappa, 47, berkata, sudah menjadi tradisi penduduk Pagoh untuk berkunjung ke rumah terbuka anjuran Muhyiddin dalam suasana kekeluargaan.

"Salah satu keistimewaan rumah terbuka ini adalah dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat di bawah gagasan 1Malaysia.

"Selain itu, tarikan juadah seperti nasi beriani, ayam goreng dan cendol," katanya.

Bagi Johan Ghani, 48, dari Lenga, sanggup menempuh kesesakan jalan raya dari pekan Pagoh ke Kompleks Seri Pekembar untuk hadir.

Dia yang datang bersama keluarga berkata, antara sebab yang mendorong kedatangannya adalah peluang bertemu empat mata dengan Muhyiddin sendiri yang disifatkan sebagai tidak sombong untuk beramah mesra dengan orang ramai.

Gwee Cheng Hout, 45, dari Muar pula dalam rombongan 20 orang yang menaiki tiga buah kereta melibatkan jiran-jiran di kediamannya.

"Perpaduan jelas terpapar dalam rumah terbuka seperti ini kerana semua bangsa datang beramai-ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor