Pages

Friday, August 3, 2012

Polis Pahang Serius Banteras Perjudian


KUANTAN - Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang terus proaktif untuk membanteras kegiatan mesin perjudian berkomputer di negeri ini khususnya di Kuantan menerusi operasi yang dijalankan bersama agensi lain yang terlibat secara berterusan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, sehingga semalam sejak Januari lalu, sebanyak 269 serbuan telah dilakukan membabitkan jumlah rampasan wang tunai keseluruhan RM2,834 juta dengan rampasan sebanyak 2,834 komputer.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 34 premis telah dipotong bekalan bekalan elektrik daripada 115 premis yang diminta untuk pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen.

“Malah pada hari kelmarin (Rabu) tiga orang telah menerima hukuman masing-masing selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret.

“Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 36 tahun dari Jengka telah dituduh di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga premis menjalankan permainan judi berkomputer di Taman Tas pada Oktober 2010,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Ahmad.

Menurut Sharifuddin, lelaki tersebut dikenakan hukuman penjara 15 hari dan didenda RM5,00 dan kegagalan membayar denda itu membawa hukuman 30 hari penjara selain menghadapi denda tambahan sebanyak RM5,00 bagi setiap mesin judi yang dirampas serta 15 hari penjara bagi setiap mesin komputer jika denda terbabit gagal dijelaskan.

Beliau juga memberitahu, seorang lelaki berusia 37 dari Kampung Peramu, Pekan disabitkan di bawah Seksyen 4 (1)(b) Enakmen Hiburan 1993 (menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah) di sebuah premis di Taman Galing Jaya, Air Putih pada Mei tahun lalu

“Lelaki terbabit telah mengaku salah dan dikenakan denda sebanyak RM1,200 manakala seorang jurujual wanita Melayu berusia 25 tahun dikenakan denda sebanyak RM350 selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (berjudi dalam bangunan) di Taman Tas pada September 2010,” katanya.

Katanya, beliau berharap masyarakat menjadikan ia sebagai iktibar dan tidak terbabit dengan aktiviti tersebut selain menggesa orang ramai terus menyalurkan sebarang maklumat kepada polis untuk tindakan seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor