Pages

Saturday, August 18, 2012

Mencari Penyelesaian Syria


PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selama dua hari yang bermula semalam sebagai pertemuan istimewa dan tepat pada masanya.

Istimewa kerana sidang tersebut mengambil semangat Ramadan serta berlangsung di As-Safa Palace yang terletak bersebelahan Masjidilharam dan tepat pada masanya kerana harapan OIC dapat merumuskan keputusan penting berkaitan permasalahan umat Islam yang berlaku ketika ini terutama sekali yang melibatkan Syria.

"Perbalahan yang serius sedang menimpa rakyat Syria yang memerlukan OIC mengambil tindakan lebih tegas, bukan sahaja tindakan politik tetapi tekanan dan tindakan tertentu untuk menyelamatkan keadaan di Syria," tegas beliau yang mengetuai delegasi negara ke sidang anjuran Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud.

Tetapi seperti yang dijangkakan mesyuarat peringkat Menteri Luar OIC yang dijalankan sehari sebelum sidang kemuncak telah bersetuju untuk menggantung keanggotaan Syria daripada badan antarabangsa yang dianggotai oleh 57 negara Islam.

Keputusan tersebut dilihat sebagai strategi untuk memberi tekanan dan mengasingkan Presiden Bashar Assad daripada sokongan masyarakat Islam dan antarabangsa.

Perlu ditegaskan Liga Arab yang dianggotai oleh 22 negara Arab juga telah menggantung keanggotaan Syria daripada pertubuhan tersebut pada bulan November 2011. Tidak keterlaluan jika diandaikan strategi terhadap Syria yang dipegang oleh Liga Arab dan OIC adalah serupa memandangkan kesemua anggota Liga Arab juga merupakan sebahagian ahli OIC.

Tindakan yang telah diambil oleh Liga Arab dan OIC dalam menggantung keanggotaan Syria dinilai hanya mempunyai kekuatan simbolik kerana selama ini kerajaan Bashar telah dikenakan pelbagai sekatan sama ada oleh Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kenyataan Menteri Luar Iran Ali Akbar Salehi yang tidak bersetuju dengan keputusan pergantungan itu menegaskan ia tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya sebagai usaha untuk mengelak isu tersebut mempunyai kebenarannya.

Setelah Kofi Annan meletak jawatan sebagai wakil khas PBB-Liga Arab untuk mencari penyelesaian Syria pada bulan lepas, sehingga kini penggantinya masih belum diumumkan.

Menjadi tanggung jawab Liga Arab untuk mengemukakan nama calon baru tetapi kegagalan Menteri Luar Liga Arab mengadakan mesyuarat minggu lepas membuatkan isu tersebut tergantung.

Menteri Luar OIC sepatutnya mengambil iktibar dari kegagalan Menteri Luar Liga Arab tersebut dengan mengambil inisiatif memperjuangkan agenda pemilihan wakil khas kerana Liga Arab dilihat tidak mampu untuk mengambil pendirian yang tidak berat sebelah.

Pemilihan wakil khas adalah penting kerana ia dianggap sebagai saluran komunikasi yang kritikal di antara kerajaan Bashar dan masyarakat antarabangsa. Kegagalan Kofi Annan bukan kerana beliau semata-mata tetapi disebabkan pertembungan di antara ahli Majlis Keselamatan PBB.

OIC perlu lebih berani untuk mengambil tindakan di luar lingkungan PBB dengan sekurang-kurangnya pencarian wakil khas baru menjadi agenda utama tetapi nampak gayanya pengaruh Liga Arab terlalu kuat dalam OIC. Pertembungan di antara Liga Arab dan OIC dalam mencari penyelesaian Syria nampaknya tidak akan berlaku kerana kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai aspirasi yang serupa.

Tetapi perlu diingatkan bahawa satu lagi pertubuhan antarabangsa iaitu Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang mempunyai 120 negara ahli akan mengadakan sidang kemuncak hujung bulan ini di Teheran, Iran.

Antara agenda penting yang akan dibincangkan oleh NAM adalah Syria dan paling menarik dalam hal ini ialah sidang akan di pengerusikan oleh Iran yang merupakan sekutu kuat Syria.

Berbeza dengan struktur organisasi Liga Arab dan OIC, hala tuju agenda mesyuarat NAM ditentukan sepenuhnya oleh pengerusi yang memberi maksud bahawa Iran mempunyai landasan yang kuat untuk memperjuangkan isu Syria mengikut persepsi Teheran.

Pertembungan dijangka akan berlaku di antara Liga Arab, OIC dan NAM dalam mencari penyelesaian Syria kerana ada negara anggota Liga Arab dan OIC juga berada dalam NAM. Sebagai contohnya Arab Saudi dan Qatar yang dianggap sebagai tonggak utama Liga Arab dan OIC juga berada dalam NAM.

Walaupun Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad secara rasminya telah menjemput Presiden Bashar untuk hadir pada sidang kemuncak NAM, tetapi besar kemungkinan Syria hanya akan diwakili oleh Menteri Luar sahaja.

Telah terbukti bahawa PBB tidak mampu menyelesaikan masalah Syria dengan adil kerana faktor Majlis Keselamatan tidak mungkin membenarkan perkara tersebut berlaku. AS, Britain dan Perancis lebih cenderung memberi sokongan kepada pemberontak dan menekan Bashar sementara Rusia dan China pula mempunyai pegangan yang bertentangan.

Harapan hanya terletak kepada kekuatan dan keinginan Liga Arab, OIC dan NAM yang sudah pasti mahu menyaksikan penyelesaian masalah Syria. Tetapi seperti yang telah berlaku pendekatan yang diambil oleh ketiga-tiga pertubuhan ini bertentangan di antara satu sama lain yang begitu mirip dengan apa yang sedang berlaku dalam Majlis Keselamatan PBB.

Liga Arab, OIC dan NAM perlu mengutamakan strategi penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat Syria dalam jangka masa panjang dan bukannya terlalu taksub sama ada untuk menggulingkan kerajaan Bashar atau menyelamatkan beliau.

Jika kepimpinan ketiga-tiga pertubuhan tersebut masih menggunakan faktor Bashar sebagai pemangkin pencarian penyelesaian mereka, maka sudah pasti tiada kesudahan masalah Syria.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor