Pages

Tuesday, August 21, 2012

Majils Rumah Terbuka PM Disambut Meriah


PUTRAJAYA - Lebih 100,000 rakyat pelbagai kaum menyerikan majlis Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2012 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jemaah Menteri yang diadakan di Seri Perdana di sini..

Walaupun majlis tersebut hanya bermula pada pukul 10 pagi, orang ramai kelihatan tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri seawal pukul 8.30 pagi.

Majlis yang sepatutnya berlangsung sehingga pukul 4 petang itu juga terpaksa dilanjutkan selama 15 minit apabila orang ramai berpusu-pusu masuk untuk bersalam dan mengucapkan selamat hari raya kepada Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut mengunjungi rumah terbuka itu ialah diplomat asing, pemimpin parti-parti politik termasuk daripada pembangkang, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat dan juga pelancong asing.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri-menteri Kabinet turut bersalaman dengan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka itu.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Pemenang pingat perak dalam Sukan Olimpik London 2012, Datuk Lee Chong Wei turut menghadiri majlis berkenaan dan orang ramai yang menyedari kehadirannya mengambil peluang untuk bergambar dengan jaguh badminton negara tersebut.

Selain berpeluang menjamu selera dengan pelbagai jenis juadah, orang ramai turut dihadiahkan bungkusan kuih raya daripada Perdana Menteri dan isteri manakala kanak-kanak diberikan duit raya.

Majlis berakhir pada pukul 4.15 petang dan sebaik sahaja orang ramai bersurai, Najib mengambil kesempatan untuk bersalam dan mengucapkan selamat hari raya kepada petugas termasuk anggota polis yang terlibat dalam menjayakan program penuh bermakna tersebut.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor