Pages
▼
Saturday, August 18, 2012
Keceriaan Menjelang Aidilfitri
KUANTAN - Hanya tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sudah tentunya pelbagai persiapan dibuat bagi meraikan hari tersebut.
Namun, dalam kegembiraan itu, jangan pula dilupakan kepada mereka yang kurang bernasib baik kerana perayaan tersebut perlu diraikan oleh semua golongan tanpa sempadan.
Atas keprihatinan itu, seramai 100 anak yatim di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing menerima sumbangan pakaian baru sempena menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohammed Shah berkata, pemberian itu bertujuan menceriakan kehidupan golongan itu dan tidak merasa tersisih untuk menyambut perayaan tersebut.
Jelasnya, sebanyak RM10,000 diperuntukkan untuk membeli barangan tersebut yang mana setiap kanak-kanak menerima sumbangan berupaya pakaian, songkok, tudung dan kasut bernilai RM100 seorang.
"Program ini merupakan kali ketiga bermula Hari Raya Aidilfitri 2010 dan fokus diberikan adalah kepada anak yatim.
"Sumbangan itu juga diberikan kepada golongan anak yatim yang berlainan pada setiap tahun supaya mereka dapat sumbangan pakaian hari raya secara seimbang," katanya baru-baru ini.
Md. Sohaimi berkata, pihaknya turut memberi peluang kepada anak yatim tersebut datang bersama penjaga masing-masing untuk memilih sendiri pakaian kegemaran mereka.
"Kita memilih sebuah pasar raya di Taman Impianku di sini untuk membolehkan mereka memilih pakaian sendiri. Anak yatim sebenarnya bukanlah golongan terpinggir seperti disangkakan malah, mereka sentiasa diutamakan dalam pelbagai perkara," katanya.
Md. Sohaimi berkata, kesemua anak yatim tersebut turut menerima sumbangan wang hari raya daripada Puteri UMNO Bahagian Paya Besar sebagai meringankan bebanan penjaga mereka.
Dalam pada itu, seramai sembilan anak yatim daripada masyarakat Orang Asli beragama Islam turut menerima sumbangan sama.
"Kita juga turut memberi sumbangan kepada anak yatim tersebut dari Sungai Mas, Sungai Lembing yang golongan itu juga turut menerima pakaian baru menjelang hari lebaran nanti.
"Saya berharap sumbangan seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh penjaga mereka," katanya.
Dalam pada itu, seorang anak yatim dari Sungai Lembing, Zulaikha Zulkifli, 9, berkata, bantuan tersebut amat bermakna kerana ibunya merupakan seorang ibu tunggal dan sukar untuk menyiapkan keperluan untuk hari raya nanti.
"Saya sungguh terharu kerana menerima pakaian baru untuk dipakai pada hari lebaran. Nasib baik dapat bantuan ini, kalau tidak sudah tentu saya akan memakai baju tahun sebelumnya untuk berjimat," katanya.
Bagi seorang lagi anak yatim, Mohd. Zamani Hafiz Fairus, 10, dia memilih pakaian seperti baju melayu, songkok dan kasut serta tidak menyangka ada pihak yang prihatin dengan nasibnya.
"Mujurlah saya, abang dan adik menerima sumbangan ini kerana kasihan ibu terpaksa menanggung kami empat beradik. Dapatlah kami beraya dengan meriah kali ini dan saya harap akan dapat lagi pada tahun depan," katanya.
Seorang ibu tunggal, Norma Zakaria, 39, terharu dengan sumbangan wakil rakyat itu dan ia amat bermakna terutama empat anaknya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor