TEMERLOH - Persiapan menyambut hari raya enam beradik sejak seminggu lalu musnah apabila rumah didiami di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak, Bandar Temerloh, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, semalam.
Kejadian berlaku ketika pemilik rumah, Soama Mat Akil, 72, bersama empat cucu dan menantunya, Nor Rashidah Mohd Abdul, 33, berada di rumah.
Ketika kejadian, dua lagi cucu Soama masih belum pulang dari sekolah, manakala anaknya, Mohd Adam Abdul Latif, 34, keluar bekerja. Soama berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencabut rumput di halaman rumah, sebelum dikejutkan dengan teriakan menantunya.
“Saya dengar menantu jerit api dalam rumah, dia kemudian mendukung dua anaknya dalam bilik air dan dua lagi anak kembarnya keluar dari rumah.
“Masa dia cuba masuk semula untuk selamatkan beberapa barang, api sudah marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya,
Sementara itu, menantu Soama, Hamidin Mat Isa berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah rumah ibu mentuanya.
“Selang beberapa saat kemudian saya nampak asap. Saya masuk ke dalam rumah ambil tiga baldi air siram, tetapi api semakin marak. Saya cari emak dan kemudian keluar menyelamatkan diri.
“Ketika melarikan diri, saya lihat anak saudara dan kaum keluarga lain dah berkumpul di halaman rumah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Adam berkata, dia dimaklumkan isterinya mengenai kejadian itu ketika sedang bertugas di bandar Temerloh.
“Saya balik tengok rumah dah rentung, semua persiapan raya anak-anak yang baru seminggu lalu kami beli musnah. Kasut, baju pakaian anak-anak sepasang seorang saya beli semua musnah.
“Biasanya saya ke tempat kerja naik motosikal, tetapi hari ini (semalam) saya bawa van. Motosikal yang saya tinggalkan di garaj rumah turut musnah,” katanya.
Mohd Adam berkata, isteri, anak dan ibunya bernasib baik kerana sempat keluar menyelamatkan diri, namun isterinya mengalami cedera ringan di tangan akibat terkena api ketika menyelamatkan anak-anak.
Menurutnya, dia bersama isteri dan enam anak baru sahaja berpindah ke rumah ibunya kira-kira tiga bulan lalu.
"Sebelum ini saya menyewa sebuah rumah berhampiran sebelum mengambil keputusan tinggal bersama ibu," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnuddin Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 12.49 tengah hari, semalam.
Menurutnya, dua jentera tiba di lokasi kira-kira jam 1 tengah hari dengan kekuatan 13 anggota dan pegawai untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
“Secara keseluruhan, 90 peratus rumah ini musnah terbakar. Pihak kami masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran,” katanya semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri melalui Exconya, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada keluarga mangsa.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor