Pages

Friday, August 24, 2012

Cabaran Mengurus Pengajian Tinggi


Mengurus pengajian tinggi pada abad kedua puluh satu memerlukan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengurus dan pentadbir akademik, para akademia dan siswa-siswi sebagai satu komponen utama yang ada di universiti, di samping mengiktiraf bakat di universiti sebagai tonggak kritikal institusi. Universiti perlu terus hidup dalam dunia ilmu yang berkembang tanpa melupakan acuan tersendiri sebuah negara bangsa dan memastikan kampus universiti terus bersemarak dengan aktiviti keilmuan dan wacana-wacana yang berupaya memajukan pemikiran dan perdebatan ilmu.

Kepelbagaian dalam pemikiran dan disiplin ilmu sejak dahulu, menjadikan universiti begitu rencam, bukan hanya kerana manusia dan bakat yang ada adalah pelbagai, tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang memberikan harapan besar dalam membentuk masa depan negara dan sumber manusianya, memperkasakan siswa-siswi dengan ilmu dan sahsiah diri serta pada masa yang sama menjadikan universiti sebagai institusi ilmu yang berupaya melakukan perubahan terhadap masa hadapan negara dan bangsa sebagai sebahagian daripada komuniti dunia.

Selain daripada itu, universiti perlu seimbangkan antara idealisme ilmu yang sering menjadi pegangan para akademia serta penting kepada pemajuan kritikal minda dengan realiti kehidupan masyarakat, bersikap realistik dan mampu memindahkan ilmu kepada masyarakat yang memerlukan pemboleh ubah perubahan.

Malah terminologi libatsama masyarakat atau community engagement menjadi satu perkara utama pada masa ini bagi memastikan universiti sentiasa relevan dengan kehendak dan keperluan negara. Bukan sahaja masyarakat, malah industri yang menjadi pemain besar dalam ekonomi negara dan dunia perlu dilibat sama sebagai sebahagian daripada proses keilmuan universiti.

Di samping modaliti libat sama masyarakat dianggap penting untuk pemindahan ilmu kepada masyarakat, penerokaan modaliti baru untuk perpindahan juga perlu di terokai. Contohnya memindahkan kepada masyarakat melalui industri atau institusi dalam komuniti seperti koperasi dan pertubuhan sukarela lain yang bergerak sama untuk perubahan masyarakat.

Selain melihat kepada kaedah dan metodologi perpindahan ilmu, isu asal tujuan universiti pula timbul. Timbul persoalan dan keraguan, adakah universiti makin lari daripada prinsip asas keilmuannya dalam proses penjanaan dan pemerkasaan ilmu sesuai dengan universaliti atau kesejagatan yang perlu dipertahankannya, usaha mentransformasikan kehidupan masyarakat melalui ilmu dan sebagainya sedangkan pada masa yang sama perlu pula melihat sisi lain ilmu untuk aplikasi secara langsung, apatah lagi berdikari dalam mencari dana untuk menampung kos yang makin meningkat naik.

Hakikatnya ialah universiti bukan lagi menara gading yang terpisah dan terasing yang begitu sukar untuk didekati, sebaliknya perlu diubah menjadi menara ilmu yang mencambah mekarkan proses mencari kebenaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan mengembang serta memajukannya dalam konteks keilmuan.

Universiti dan pengajian tinggi perlu dipertahankan prinsip asas peranannya dalam mempertahankan kekuatan ilmunya, namun pada masa yang sama komuniti pengajian tinggi perlu sedar dan memahami bahawa kedua-dua proses keilmuan dalam konteks pembangunan ilmu dan libat sama masyarakat mahu pun industri perlu berjalan seiring kerana sifatnya bukanlah statik tetapi dinamik seiring dengan perubahan masa. Asasnya ilmu perlu dipindahkan kepada masyarakat walau apa pun modalitinya.

Di sini jugalah timbul cabaran untuk pengurus dan pentadbir universiti agar lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan berdaya saing dalam konteks global. Malah bagaimana universiti dan pengajian tinggi perlu meneruskan tradisi memimpin bukan sekadar dipimpin dan memastikannya terus relevan dalam menangani dan menghadapi arus perubahan global.

Universiti-universiti kita juga bergerak bersama sebagai satu pasukan yang berwibawa dan dihormati, berintegriti tinggi dan disegani, bersedia dengan idea dan pemikiran baru yang segar malah juga meneroka penemuan-penemuan baru bagi menghadapi kecanggihan teknologi yang ada secara bersama atas nama negara, walau pun boleh bersaing dalam konteks tempatan dalam hal-hal yang tertentu. Ini bermakna kita bergerak sama ke puncak, saling membantu dalam pelbagai bidang kekuatan dan kepakaran atas nama satu negara.

Sama seperti satu pasukan yang melakukan kayuhan ke puncak, ia perlu persediaan rapi. Orang yang mengayuh perlukan persediaan minda, fizikal dan mental, manakala basikal yang dikayuh harus dalam keadaan yang sempurna dengan mereka yang mempunyai kepakaran bersedia membantu jika ada masalah ketika kayuhan dan dalam perjalanan.

Pasukan sokongan sangat penting untuk pastikan tidak ada yang tertinggal atau ditinggalkan. Malah, apabila berada di puncak pula, perlu bersyukur dan jangan cuba menjadi wira tunggal dan berlagak hebat kerana dalam masa sedetik, kita boleh terhumban seorang.

Sama ada pengajian tinggi dalam konteks sebuah universiti mahu pun sebuah negara pengalaman berkayuh ke puncak dalam satu pasukan ini penting untuk dihayati. Pengajian tinggi negara dan universiti kita tidak boleh lagi bergerak berseorangan secara solo tetapi berkongsi kepakaran antara disiplin yang ada untuk saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Kepimpinan universiti perlu bersatu hati dalam menentukan arah tujunya pada masa hadapan. Pertanyaan seorang profesor dalam satu bengkel yang diadakan baru-baru ini, adakah kita syok sendiri dengan ilmu kita atau benar-benar memenuhi keperluan masyarakat, pemegang taruh dan juga siswa-siswi yang ada, adalah pernyataan jujur dalam memastikan universiti dan pengajian tinggi negara berada pada landasan yang sewajarnya.

Ini bukan bemakna kita menidakkan sumbangan besar universiti selama ini, namun kita perlu menilai dan menetapkan arah sebenarnya pada masa hadapan. Universiti dan pengajian tinggi tidak terkecuali dari akauntabiliti, sama seperti kedudukannya apabila autonomi yang menjadi kata magis pengajian tinggi diberi kepada universiti oleh kerajaan. Autonomi adalah satu keperluan dan kemestian dalam mempertahanan kebebasan akademia yang menjadi perjuangan pelbagai pihak apabila menyentuh tentang kredibiliti universiti.

Namun kita perlu sedar, kebergantungan kepada dana awam menyebabkan agak sukar autonomi sebenar dinikmati sepenuhnya walau pun kebebasan membuat keputusan terhadap beberapa perkara asas sudah banyak diberi. Begitu juga dengan ekosistem lain dalam penyelidikan dan inovasi mahu pun akademik yang telah sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan dan keberhasilan yang dapat memperkasakan proses keilmuan dan penyampaian.

Perkara utama sekarang ialah bagaimana untuk pengurus dan pentadbir universiti dan pengajian tinggi dapat menggunakan segala sumber yang ada dengan kreatif dan inovatif untuk terus melakukan perubahan, menjadi pemimpin ilmu dan pemimpin perubahan, berdaya saing, berupaya mempertahan dan menjadikan universiti benar-benar menara ilmu, berintegriti tinggi, siswa-siswi yang passionate kepada ilmu dan pada masa yang sama mengeluarkan siswazah yang mampu berfikir dan melakukan perubahan dengan menggunakan ilmunya sekaligus mendorong libat sama semua pihak termasuk industri dan masyarakat bagi menggalas hasrat yang sama.

Pengajian tinggi juga memerlukan perubahan terhadap sistem dan proses pengajaran dan pembelajaran, arah tuju penyelidikan dan inovasi serta bagaimana universiti meletak kedudukannya agar terus relevan dalam agenda pembangunan nasional, masyarakat, industri dan penerokaan di peringkat dunia dan antarabangsa.

Juga bagaimana untuk kita melihat sumber sedia ada yang boleh digemblengkan seramai mungkin di dalam insitusi dan di luar institusi serta dalam kalangan pemegang taruh. Sinergi kesemua elemen yang ada amat penting dalam menghadapi cabaran yang ada pada masa hadapan.

PROF DATUK DR. OMAR OSMAN

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor