Pages

Sunday, July 8, 2012

@SukanMsiaXVPhg : Majlis Perasmian Gilang Gemilang

KUANTAN - Gimik penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza menyanyi sambil menunggang replika gajah mekanikal menjadi tumpuan pada pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Stadium Darul Makmur malam ini.
Upacara perasmian disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di depan kira-kira 40,000 penonton.




Turut berangkat ke majlis itu Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selain Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Terdahulu, Sultan Pahang berangkat masuk ke stadium menaiki pedati diiringi perarakan replika gajah yang menjadi lambang negeri Pahang.


Ia disusuli persembahan gendang, silat dan tarian berwarna-warni oleh 2,000 peserta terdiri daripada murid sekolah, pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara dan pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Pahang.
Majlis diteruskan dengan perbarisan lintas hormat 15 kontinjen termasuk pasukan jemputan Brunei Darussalam.


Tiga bekas atlet Pahang iaitu Amirul Amizan Ibrahim (angkat berat), R.Haridas (olahraga) dan Chan Zhi Hui (gimnastik) menyempurnakan acara menyalakan obor diikuti lafaz ikrar diketuai atlet menembak Mohd Nur Rohimin Abdul Halim serta upacara menaikkan bendera kejohanan.
Obor itu diserahkan kepada Sultan Pahang yang kemudian melafazkan titah perasmian. Majlis diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang menarik.


Sukma akan berlangsung sehingga 16 Julai ini di lokasi sekitar Kuantan, Temerloh dan Pekan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor