Pages
▼
Monday, July 30, 2012
Pusat Perjudian Ditutup
KUALA ROMPIN - Polis mengesahkan empat premis judi siber di Bandar Industri Muadzam Shah sudah ditutup sejak tiga minggu lalu dan menafikan bahawa ia masih wujud sepertimana didakwa Jawatankuasa Gerakan Anti Judi Muadzam Shah.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, pusat judi haram itu mula dikesan menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dengan menawarkan permainan judi Internet kepada pelanggan.
Malah, katanya, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu daripada orang awam telah membuat lapan serbuan di premis terbabit selain menahan 74 suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.
“Sepanjang tempoh itu, 55 suspek lelaki Melayu dicekup, manakala 18 suspek lelaki Cina termasuk seorang wanita juga diberkas dan seorang lelaki Orang Asli turut ditahan dalam operasi.
“Polis juga merampas 89 set komputer serta barangan perjudian lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Johari berkata, selama tempoh itu juga, polis berdepan kesukaran untuk melumpuhkan kegiatan itu memandangkan pengusaha pusat judi haram masih meneruskan operasi walaupun premis terbabit diarahkan ditutup oleh pihak berkuasa.
“Pusat judi ini licik kerana apabila polis buat serbuan mereka akan tutup empat hingga lima hari dan selepas itu mereka akan beroperasi semula sebelum kami dapat mengambil tindakan seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, polis akan terus memantau kegiatan itu dari semasa ke semasa selain menegaskan bahawa pihaknya kini sedang melengkapkan proses siasatan kepada pendakwa raya bagi tindakan di mahkamah.
Menurutnya, kesemua suspek dan barang rampasan berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4 (1) (b) Enakmen Hiburan 1993 (Pahang).
“Sesiapa yang didapati bersalah melakukan perjudian haram ini, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 serta hukuman penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor