KUANTAN - Berumpankan seguni rumput kering yang kononnya berisi getah beku, tiga perompak berjaya menarik perhatian pengurus sebuah pusat membeli getah di sini apabila lelaki itu bersama dua pekerjanya keluar dari premis untuk menimbang ‘getah’ tersebut.
Peluang itu digunakan dua daripada suspek untuk menyamun pengurus dan pekerja premis terbabit dengan mengugut mereka menggunakan senjata seakan pistol. Penjenayah berusia dalam lingkungan awal 30an memakai topi keledar berpenutup penuh mengancam akan menembak mangsa sekiranya mereka enggan menyerahkan wang dan barang berharga seperti yang diarahkan.
Akibat kejadian, pengurus terbabit Jason (bukan nama sebenar), 30an bersama dua pekerjanya termasuk seorang pekerja wanita terpaksa menyerahkan wang hasil perniagaan RM14,000, wang milik mereka sendiri, RM3,000, sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan dua utas rantai emas.
Jason ketika ditemui berkata, mereka bukan sahaja menanggung kerugian besar malah turut cedera di beberapa bahagian badan akibat diserang suspek.
“Saya cedera di bahagian atas mata akibat ditumbuk suspek manakala salah salah pekerja (lelaki) disepak dan ditumbuk beberapa kali,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Batu 12, Jaya Gading dekat sini, semalam.
Menceritakan kembali kejadian samun kirakira jam 7 pagi semalam itu, Jason berkata, dia bersama pekerjanya baru membuka kedai bagi memulakan perniagaan.
Menurutnya, tidak lama kemudian premisnya didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal dengan membawa satu guni kononnya getah beku untuk dijual.
“Saya dan pekerja keluar untuk menimbang ‘getah’ itu namun agak terperanjat apabila mendapati guni itu hanya berisi rumput.
“Ketika itu juga dua suspek yang masuk ke kawasan premis mengeluarkan senjata seakan pistol lalu mengacukan ke arah kami sebelum meminta menyerahkan wang dan barang berharga,” katanya.
Dia berkata, suspek juga mengancam untuk melepaskan tembakan jika mereka enggan menuruti arahan mereka ketika itu.
“Mereka bertindak ganas apabila menyerang kami berdua sebelum menggeledah kedai dan melarikan semua wang tunai , komputer riba, telefon bimbit selain merampas dua rantai emas yang dipakai,” katanya.
Jason berkata, selepas mendapat habuan mereka dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka yang berada di pintu pagar bertindak melarikan diri.
“Walaupun terpaksa menanggung kerugian, saya bersyukur kerana masih selamat walaupun turut mengalami kecederaan ringan,” katanya yang baru pertama kali menempuh detik mencemaskan sejak bekerja di kedai tersebut.
Sementara itu, Pegawai TurusUrus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.40 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian membabitkan tiga suspek dipercayai warga tempatan yang datang ke premis tersebut dengan menaiki dua motosikal.
“Suspek menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum mengeluarkan senjata seakan pistol untuk mengugut mangsa,” katanya ketika ditemui di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.
Noor Asyikin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor