Peneroka perlu awasi ‘penasihat’ luar mahu adu domba
Khabar Dari Kuantan
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
HASUTAN dan masyarakat Melayu sememangnya sinonim. Sebab itu banyak kisah Melayu lama termasuk dalam filem P. Ramlee tidak dapat lari daripada menyelitkan peranan penghasut yang digambarkan dalam pelbagai karakter.
Antara yang diingati ialah watak Kassim Patalon lakonan Salleh Kamil selaku peguam dalam filem Tiga Abdul bagaimana dia memberi nasihat atau lebih tepat menghasut Sadiq Segaraga lakonan Ahmad Nisfu yang akhirnya menjerat diri saudagar barang purba itu.
Namun itu hanyalah secebis kisah daripada filem Tan Sri P Ramlee yang membuatkan penonton tertawa terbahak-bahak walau berulang kali menontonnya.
Bagi yang mahu mengambil pengajaran, mesejnya jelas supaya berhati-hati dengan ‘penasihat 25 percent’ di sekeliling yang lazimnya akan cuci tangan di atas salah nasihat atau hasutan mereka.
Begitu juga dalam kehidupan masyarakat peneroka Felda yang mana penasihat ini berlegar-legar di merata-rata tempat di seluruh tanah rancangan di negara ini apatah lagi ketika tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin dekat.
Matlamat mereka hanyalah untuk mengadu domba antara peneroka dengan pihak pengurusan Felda menerusi pelbagai hasutan tidak berasas agar dapat menangguk di air keruh demi merungkai status tanah rancangan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Contoh paling jelas apa yang berlaku ke atas lapan peneroka di Jengka yang memfailkan injunksi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) baru-baru ini apabila tindakan mereka itu ibarat ‘meludah ke langit’ apabila akhirnya terpaksa menebal muka tampil mengambil cek durian runtuh.
Biar apa pun alasan, semua boleh menelah di sebalik ‘modus operandi’ peneroka terbabit apabila tidak mengambil cek ‘durian runtuh’ pada majlis penyampaian rasmi yang disempurnakan wakil rakyat BN sebaliknya mengambilnya pada hari berikut di pejabat pengurus.
Apa pun yang menanggung malu di atas perbuatan sebelum ini ialah peneroka itu sendiri walaupun semua tahu tindakan mereka memfailkan injunksi adalah akibat hasutan penasihat luar yang terdiri daripada pemimpin parti atau peguam politik ini.
Justeru, pembayaran ‘durian runtuh’ tanpa menjejaskan hak tanah peneroka adalah pengajaran paling besar buat mereka agar tidak mudah termakan hasutan penasihat-penasihat bermotifkan politik ini yang hanya bijak mengeruhkan air yang jernih.
Bagi Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din, beliau mempunyai analogi tersendiri bagi menggambarkan hubungan antara peneroka dan Felda yang diibaratkannya seperti kehidupan pasangan suami isteri yang telah berkahwin selama separuh abad.
‘‘Kalau suami isteri sudah 40, 50 tahun mendirikan rumahtangga, tak kan kita mudah-mudah hendak percaya cakap orang luar daripada pasangan sendiri.
‘‘Sebab itu jika ada apa-apa masalah, Felda sedia berbincang kerana kita dengan peneroka telah lama bersama, tak cukup jumpa pengurus, jumpa saya. Saya sedia berdialog untuk sebarang rundingan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kata-kata Saari itu sememangnya menggambarkan senario ketika ini yang menyaksikan pelbagai tohmahan dilemparkan ke atas Felda bagi membentuk persepsi buruk ke atas agensi yang berjaya melonjakkan ekonomi umat selama ini.
Dikhabarkan, pembangkang bersama para peguam mereka kini giat mencari apa sahaja lubang untuk ‘menasihatkan’ peneroka agar tercetusnya percakaran dengan Felda dan pengakhirannya diharapkan ‘kemarahan’ itu diluahkan di peti undi.
Paling popular selepas isu FGVH adalah kononnya Felda memanipulasi Kadar Perahan Gred (KPG) yang ditiup mereka bahawa hasilnya adalah lebih tinggi daripada apa ditetapkan Felda.
Bagi yang tidak berfikir panjang, hasutan itu cukup mempesonakan sehinggakan lupa antara kebenaran dan persepsi jahat yang dilemparkan lalu merelakan mereka dinamakan dalam saman ke atas Felda.
Hinggakan mereka lupa bahawa Felda dan seluruh kakitangan agensi itu berkhidmat dengan amanah untuk sama-sama menjayakan hasrat kerajaan meningkatkan taraf hidup peneroka.
Bagi Saari, peneroka harus mengawasi tindakan pihak luar kerana orang luar tidak faham mengenai apa yang berlaku sebaliknya apa yang didakwa semuanya berasaskan andaian.
‘‘Tuduh itu tuduh ini, sampaikan saman sudah nampak macam trend, ini bukan budaya kita. Mereka orang luar, mereka tidak tahu fakta sebenar.
‘‘Yang tahu pihak kami. Ingat, hanya ‘jauhari mengenal manikam’. Jadi awas dengan orang luar, benar mereka tawarkan khidmat peguam, tapi ingat tawaran itu akhirnya boleh menjerat peneroka kerana khidmat itu harus dibayar dan caj peguam bukan murah," tegasnya.
Penegasan Saari itu memang membuatkan mereka yang makan cili cukup merasa pedasnya lantas perkara menimpa peneroka Felda Kemahang Tiga di Kelantan yang sebelum ini memfailkan saman ke atas Felda harus menjadi tauladan.
Ini apabila peneroka terlibat akhirnya membawa kain rentang di pekarangan mahkamah 25 April lalu mengecam bekas peguam mereka sendiri berikutan wujud pertikaian berhubung pengagihan bayaran ganti rugi hingga memaksa mereka menyaman kembali firma guaman berkenaan.
Natijahnya, jangan biarkan diri diperdaya dengan hasutan penasihat yang menjahanamkan seperti mana berlaku kepada Sadiq Segaragar dalam filem Tiga Abdul. Ikatan keluarga musnah, diri tergadai angkara nasihat orang luar.
Sebelum terlewat sedarlah, tindakan saman akhirnya akan membuka ruang kepada saman balas dan jika keadaan buku bertemu ruas ini berlaku, peneroka sendiri menanggung kesan terkontang-kanting dan penasihat-penasihat sebelum ini sama ada yang bermisai atau berjanggut mungkin hanya akan lepas tangan.
Peguam berstatus ‘penasihat 25 percent’ pula barangkali angkat kaki andai kata Felda mengambil tindakan balas termasuk ke atas kumpulan lapan peneroka yang memfailkan injunksi menghalang penyenaraian FGVH.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor