Pages

Thursday, June 7, 2012

Pembangunan Maran Semakin Berkembang


MARAN - Pembangunan seimbang antara daerah sentiasa menjadi fokus kerajaan negeri dalam memastikan masyarakat di sesebuah kawasan itu menikmati kehidupan yang selesa dan tenteram.

Maran, sebuah daerah yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuantan tidak terkecuali menerima limpahan tersebut hasil daripada perancangan dan usaha termasuk yang dilakukan oleh Ahli Parlimennya, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Dikenali sebagai 'Bandar Ayam Kampung' sejak empat tahun lalu, langkah itu dilihat sebagai strategi serampang dua mata untuk menjana pendapatan penduduk tempatan dalam mempelbagaikan ekonomi mereka.

Menurut Ismail, sebagai sebuah daerah yang muda di negeri ini, Maran tidak terkecuali dalam menerima arus pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, penekanan itu penting memandangkan masyarakat di sini mahukan sebuah prasarana yang boleh dinikmati mereka sama dengan di daerah lain.

"Saya turut memohon Kerajaan Pusat dan negeri untuk menambahkan lagi infrastruktur di daerah ini termasuk di kawasan luar bandar," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, antara projek pembangunan yang diperjuangkan ialah pembinaan sebuah hospital daerah bagi membolehkan penduduk menerima rawatan terbaik dan mudah menguruskan kematian waris masing-masing.

Sebelum ini, katanya, penduduk terpaksa pergi ke Hospital Jengka dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh untuk menjalani sebarang rawatan.

"Hospital di sini sangat penting kerana semakin ramai yang memerlukan rawatan termasuk kecemasan termasuk mangsa kemalangan jalan raya.

"Justeru, kerajaan telah bersetuju untuk membina hospital tersebut dengan menelan belanja RM60 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," jelasnya.

Kemudahan itu katanya, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada penduduk kerana tidak perlu lagi mengunjungi hospital yang terletak jauh dan mengambil masa panjang untuk ke sana.

Dalam mempertingkatkan lagi taraf pendidikan di kalangan masyarakat di situ pula, Ismail berkata, sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sini akan dinaik taraf sebagai sekolah berasrama penuh (SBP).

Beliau memberitahu, permohonan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran dalam menaik taraf SMK Seri Jengka menjadi sebuah SBP.

Katanya, wakil kementerian telah mengadakan lawatan ke sekolah itu bagi melihat kesesuaian untuk dinaik taraf sebagai sekolah berkenaan.

"Usaha itu bertujuan menjaga pendidikan pelajar sekolah di daerah ini. Kewujudan SBP secara tidak langsung akan mewujudkan sikap persaingan dalam kalangan pelajar untuk menempatkan diri mereka di sekolah tersebut yang sememangnya melahirkan pelajar cemerlang," katanya.

Ismail berkata, golongan orang kurang upaya (OKU) juga tidak dilupakan apabila satu kawasan perumahan khususnya mereka yang cacat penglihatan akan dibina di daerah itu.

Tambahnya, setakat ini terdapat lapan unit rumah didiami oleh golongan tersebut dan pihaknya akan mencari satu tapak khas untuk dijadikan kawasan perumahan mereka.

''Satu peruntukan khas telah dimohon kepada kerajaan untuk mencari tapak dan membina kawasan perumahan bagi golongan itu supaya mereka dapat menikmati kemudahan dengan lebih selesa.

''Selain kemudahan di bandar, masyarakat di luar bandar juga tidak dilupakan kerana mereka juga diberi perhatian dalam arus pembangunan itu,'' ujarnya.

Katanya, di bawah Parlimen Maran, terdapat 12 tanah rancangan Felda dengan kesemua masyarakat peneroka tidak ketinggalan menerima faedahnya.

Jelasnya, pembinaan dewan orang ramai di setiap tanah rancangan terbabit antara langkah dalam membolehkan masyarakat itu melakukan pelbagai aktiviti.

Golongan belia dan remaja tambahnya, tidak terkecuali turut menerima kemudahan apabila beberapa gelanggang Futsal dibina di tanah rancangan terbabit.

"Tujuan kita adalah untuk melihat golongan terbabit melakukan aktiviti berfaedah terutamanya sukan bagi mengelak mereka terjebak dalam gejala tidak sihat," katanya.

Oleh itu, katanya, pembangunan yang dilaksanakan di daerah ini membawa sinar baru kepada penduduk di situ sekali gus membuktikan janji kerajaan membela rakyat sentiasa ditepati.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor