Pages

Monday, June 18, 2012

Parti PAS Digesa Jangan Menghina Islam


KUALA LUMPUR: Penggunaan nama Islam pada parti politik tidak sepatutnya menjadi petunjuk kepada umatnya untuk memilih sesuatu parti, sebaliknya penilaian perlu dibuat berdasarkan manifesto dan pelaksanaannya.

Ini kerana ada parti politik yang membawa nama Islam dengan manifesto Islamik, namun gagal melaksanakan apa diperjuangkannya selepas memegang kuasa.

Peringatan itu dibuat tokoh ilmuwan Islam, Syeikh Dr Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool dari Jordan.

“Setiap parti mempunyai agendanya sendiri, namun rakyat khususnya golongan muda mempunyai pilihan, menyokong mana-mana pihak berdasarkan apa dijanjikannya (manifesto) dan pelaksanaannya.

“Ada berlaku di sesetengah tempat, parti membawa nama syiar Islam, manifestonya nampak Islamik, tetapi bila sampai pemerintahan (pelaksanaannya), tidak berlaku apa yang dijanjikan, seperti ‘ada udang di sebalik batu’.

“Manifestonya jadi lain bila sampai kepada pemerintahan, berubah kepada satu perkara lain untuk menjaga kepentingan partinya, menjaga orangnya dan sebagainya,” katanya, yang juga Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt, Jordan.

Beliau ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja ‘Melahirkan Barisan Pelapis Kepimpinan Muda Islam’ sempena Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin anjuran Generasi BESTARI dan portal MyKMU.net di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau menasihatkan rakyat, khususnya golongan muda memilih parti yang menepati ajaran Islam, kebajikan dan tamadunnya.

“Apa perlu dilakukan ialah lihat kedua-duanya dan pilih yang terbaik.

“Selepas menimbangkan manifesto dan pelaksanaan yang dijanjikan, (barulah) memilih pihak yang memberi khidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai pertimbangan yang perlu dilakukan generasi muda untuk memilih parti politik.

Mengulas isu sama, Syeikh Alzoghool menegaskan tidak semestinya seseorang yang bertaqwa atau soleh sesuai diangkat untuk menjadi pemerintah.

“Seperti disebutkan dalam hadis Nabi apabila Abu Dzar (sahabat Rasulullah) minta kepada Rasulullah untuk dilantik sebagai gabenor (pemerintah), Nabi bersabda: “Abu Dzar seorang lelaki yang lemah”.

“Abu Dzar seorang yang taqwa, seorang yang soleh tapi apabila berkaitan dengan pemerintahan dan pengurusan, nabi kata dia tidak sesuai kerana ini adalah amanah,” kata Syeikh Alzoghool.

Terdahulu ketika membentangkan kertas kerjanya, Syeikh Alzoghool berkata generasi muda perlu bijak memilih dan mengkaji perjuangan sesebuah parti politik.

Katanya, mereka perlu menolak parti yang memperjuang kepentingan politik semata-mata dan tidak berkhidmat untuk rakyat, apatah lagi parti bukan Islam.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor