Pages

Thursday, June 14, 2012

Pantau Peniaga Sepanjang SUKMA Berlangsung


KUANTAN - Bersempena kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di sini Julai depan, Ops Sukma, yang bertujuan membendung para peniaga yang tidak beretika, dilancarkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Fong Koong Fuee berkata operasi itu bertujuan mengawal harga barangan sepanjang kejohanan Sukma, termasuk di peringkat runcit dan borong.

Sukma akan berlangsung dari 7 hingga 16 Julai, manakala ops itu akan bermula hari ini sehinggalah 16 Julai depan.

"Ops itu akan melibatkan petugas dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang bagi memastikan kepentingan pengguna terpelihara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ops berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata PPDNKK Pahang juga menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di sekitar lokasi 24 acara yang dipertandingkan serta di 11 penempatan atlet.

Katanya PPDNKK akan memperhebatkan pemantauan dengan menempatkan pegawai statik di setiap kawasan premis perniagaan di sekitar lokasi pertandingan semasa kejohanan itu berlangsung.

"Tidak ada kompromi terhadap mana-mana peniaga yang tidak beretika serta tidak meletakkan tanda atau menaikkan harga dan caj perkhidmatan tanpa alasan yang munasabah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor