Pages
▼
Sunday, June 10, 2012
Masa Depan Masyarakat India Semakin Cerah
Keihklasan, kejujuran dan kelangsungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani permasalahan masyarakat India secara inklusif dapat diperkasakan lagi sekiranya semangat "nambikei" (kepercayaan) ini dapat dijadikan satu formula dan pegangan yang kuat untuk mara ke depan bersama beliau oleh lebih dua juta masyarakat India negara ini.
Najib amat komited untuk mendengar permasalahan semua lapisan masyarakat termasuk dalam menangani dilema kaum India yang masih jauh ketinggalan dalam proses pembangunan negara.
Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah menyatakan komitmen kerajaan dalam membela nasib masyarakat India yang merangkumi isu ekonomi, pendidikan, sosial dan agama semasa berucap merasmikan Konvensyen Khas MIC pada Feb 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas gerakan Kumpulan Hindraf menggegarkan arena politik negara.
Najib turut mengusahakan pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Masyarakat India selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 bagi mendalami, menyelami, mendekati dan menyelesaikan masalah-masalah kritikal yang membelenggu masyarakat India.
Malah beliau jugalah pemimpin pertama negara yang sanggup turun padang untuk melawat dan mendengar rintihan peniaga India di Little India, Brickfields serta perkembangan sosio-ekonomi di sana, dan tidak sampai 24 jam selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-6.
Beliau turut mengumumkan pembangunan Brickfields sebagai Little India dengan kos RM35 juta yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri India, Manmohan Singh. Perasmian penuh bersejarah tersebut telah meletakkan Brikfields sebagai lokasi tumpuan dunia ketika ini.
Malah seorang pemilik Restoran Kordumalai Pillayar menamakan sebahagian ruang di kedainya sebagai "Najib's Corner" setelah Perdana Menteri singgah di sana untuk minum teh tarik sambil menjamu makanan.
Beliau juga menghadiri perayaan Thaipusam di perkarangan Batu Caves tiga tahun berturut-turut serta beberapa program lain termasuk anjuran MIC umpamanya Pesta Ponggal, sambutan Tahun Baru Tamil, sambutan Deepavali dan beberapa program dari semasa ke semasa untuk bertemu masyarakat India.
Dalam tempoh tiga tahun ini kerajaan Najib telah memperuntukkan RM440 juta untuk pembangunan dan menaik taraf sekolah Tamil di negara ini serta kelulusan lesen untuk membina enam sekolah Tamil yang baru.
Malah kerajaan juga telah memberikan persetujuan secara dasar memberikan kontrak menaik taraf dan pembinaan sekolah Tamil untuk kontraktor India di Malaysia.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia yang melawat Chennai ibu kota Tamil Nadu di selatan India pada Januari 2010 serta mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Tamil Nadu ketika itu Kalaignar M.Karunanidhi - seorang pemimpin yang disegani dan dihormati oleh masyarakat India di seluruh dunia.
Perlantikan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel sebagai Menteri Peneraju (Lead Minister) untuk memimpin usaha kerajaan bagi membangunkan taraf sosio ekonomi masyarakat India merupakan satu lagi pendekatan kukuh.
Inilah pertama kali seorang pemimpin masyarakat India daripada MIC dilantik sebagai Menteri Peneraju dalam sejarah negara.
Pelantikan tersebut muncul beberapa bulan selepas Najib mengumumkan satu lagi jawatan Menteri Kabinet untuk MIC selepas hampir 31 tahun parti berjuang.
"Pelantikan itu juga merupakan pengiktirafan bagi MIC dan juga masyarakat India. Ini merupakan satu lagi proses transformasi kerajaan dalam menentukan penglibatan masyarakat India dalam proses pembangunan negara menjelang 2020", kata Aktivis Sosial Datuk R. Chandrasekaran.
Chandrasekaran berkata, sudah tiba masanya masyarakat India merapatkan perpaduan dan bergerak di bawah satu payung bersama Perdana Menteri untuk menikmati "kemakmuran" yang lebih terjamin.
Masyarakat India di negara ini bakal menyaksikan satu lagi episod bersejarah hari ini dalam menentukan satu hala tuju yang lebih "selamat" dalam bidang sosio-ekonomi.
Hari ini Najib akan menghadiri satu lagi majlis iaitu Konvensyen Ekonomi India Malaysia yang julung kali dianjurkan oleh Unit ETP Komuniti India Jabatan Perdana Menteri dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).
Inilah juga buat pertama kali satu program melibatkan masa depan masyarakat India dalam proses pembangunan ekonomi negara diadakan. Sepuluh Rancangan Malaysia sudah berlalu, lima Perdana Menteri sudah bersara, banyak kertas kerja sudah dibentangkan, banyak perbincangan serta laporan media telah dibuat sebelum ini dan inilah buat pertama kali satu konvensyen diadakan secara komprehensif susulan daripada perjumpaan yang dianjurkan oleh Unit ETP Komuniti India JPM dan MAICCI di seluruh negara bersama masyarakat India berhubung dilema ekonomi kaum India.
Difahamkan pihak penganjur akan menyampaikan satu kertas konsep mengenai hala tuju masyarakat India dalam bidang ekonomi dalam bentuk blueprint bagi membentuk satu pelan transformasi ekonomi yang lebih baik dan berwibawa bagi memastikan penglibatan masyarakat India dalam segala program ekonomi negara.
Bagi memastikan satu kesinambungan - sebuah jawatankuasa perundingan ekonomi yang dinamakan Majlis Perundingan Ekonomi India Malaysia boleh ditubuhkan untuk membantu mempertingkatkan nilai ekuiti sebanyak tiga peratus menjelang 2020 dan menjadikanya satu badan pemantau yang dapat membantu kerajaan dengan kerjasama Unit ETP, MAICCI untuk mencapai aspirasi dan objektifnya dalam memperkasakan misi ekonomi masyarakat India.
Najib cukup prihatin untuk membela nasib masyarakat India termasuk soal dokumen pengenalan diri khususnya kad pengenalan, status warganegara dan sebagainya.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa memberi keutamaan menangani permasalahan masyarakat India di negara ini.
Dalam tempoh tiga tahun ini, pentadbiran Najib telah melakukan perubahan drastik untuk menyelesaikan segala kelemahan dan kekurangan yang wujud sebelum ini khususnya melibatkan isu masyarakat India.
Malah pihak pembangkang juga semakin terdesak selepas "faktor Najib" berjaya mengembalikan semula harapan dan keyakinan baru kepada masyarakat India.
Mungkinkah akan ada satu lagi pengumuman penting dari Perdana Menteri untuk masyarakat India hari ini?
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor