Pages

Sunday, May 13, 2012

Umat Islam Perlu Perkukuhkan Akidah - Sultan Ahmad Shah


Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu umat Islam memperkukuhkan akidah kerana ia menjadi benteng utama bagi menghalang musuh daripada merosak dan memporak-porandakan perpaduan di negara ini.

Baginda bertitah, melalui kekuatan akidah dan ketahanan diri yang kental mampu membentuk jati diri umat Islam yang mampu berfikir secara rasional dan bukannya bertindak berdasarkan sikap emosional.

"Hanya dengan mempunyai akidah serta ilmu agama yang cukup akan menjadi benteng serta menghindarkan seseorang itu daripada terperangkap dengan muslihat musuh untuk cuba merosakkan perpaduan dan harmoni rakyat.

"Pada zaman Rasulullah dahulu, baginda menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul, penyatuan ummah dan menyebar dakwah sehingga berjaya melahirkan umat Islam menjadi satu bangsa yang unggul, kuat serta amat disegani ketika itu.

"Kesungguhan Rasulullah itu perlu dijadikan sebagai contoh yang mana masjid dibina indah oleh kerajaan ini perlu dijadikan tempat berkumpul dan bermuafakat demi kemajuan Islam sejagat,"

"Masjid besar dan indah tiada bermakna jika hanya digunakan untuk sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat semata mata, tetapi ia perlu diimarahkan dengan pelbagai kegiatan keagamaan bagi menarik penduduk ke rumah ibadat itu," titah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan masjid baru Daerah Bentong berharga RM7.04 juta di sini.

Sehubungan itu, baginda berharap ahli jawatankuasa masjid dan surau supaya mengadakan lebih banyak kegiatan keagamaan bagi membolehkan penduduk terutamanya umat Islam setempat mengikuti kelas keagamaan.

Baginda bertitah, aktiviti keagamaan seperti itu dapat menghindarkan mereka daripada menjadi mangsa kepada pencetus huru-hara yang cuba memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Malah segala kemudahan yang disediakan perlu dimanfaatkan supaya umat Islam menjadi lebih maju dan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota Exco Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor