Pengurusan Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) disaran membina litar motocross di setiap tanah rancangan di seluruh negeri ini bagi membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan sukan permotoran itu dianjurkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dengan adanya litar tersebut, ia dapat mengurangkan gejala mat rempit di kalangan peniaga khususnya anak-anak peneroka di samping dapat menyemai budaya persaingan sihat di kalangan golongan belia.
Katanya, walaupun 'motocross' dianggap sukan lasak, tetapi ia adalah selamat berbanding lumba haram yang bukan sahaja mendedahkan pelaku kepada kematian apabila terbabit dalam kemalangan, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
"Penunggang 'motocross' dilindungi jaket keselamatan dan topi keledar jika mereka terjatuh atau terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan.
"Malah, daripada pengamatan saya, bakat-bakat pelumba 'motocross' di kalangan anak-anak peneroka cukup berkebolehan dan setanding jika dibandingkan dengan pelumba-pelumba antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pusingan pertama Kejohanan 'Motocross' 2012 anjuran MBFM di Felda Chemomoi dekat sini baru-baru ini. Menurut Adnan, beliau yakin bakat pelumba anak-anak peneroka boleh digilap dan seterusnya diketengah sehingga mampu mewakili negara di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam perkembangan yang sama, beliau menyeru sektor swasta supaya memberi sokongan kerana penganjuran kejohanan 'motocross' yang mampu memberi pulangan kepada penaja.
"Dengan adanya penglibatan swasta, hadiah-hadiah wang tunai yang disediakan lebih besar dan menarik berbanding hadiah yang diberikan sekarang ini tidak berbaloi dari sudut keselamatan dan kos menyediakan prasarana dan peralatan motosikal.
"Walaupun mereka yang menyertai sukan ini tidak kisah mengenai hadiah kerana hobi, tetapi dengan adanya hadiah yang lebih menarik ia akan membolehkan lebih ramai golongan belia menyertai sukan lasak ini," katanya.
Adnan turut mengumumkan peruntukan RM15,000 bagi membina tempat, duduk penonton di litar 'motocross' Felda Chemomoi.
Kejohanan 'Motocross' 2012 anjuran MBFM itu terdiri daripada tujuh pusingan yang akan berlangsung di tanah rancangan Felda di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor