Pages
▼
Thursday, May 17, 2012
Rakyat Malaysia Tolak Demonstrasi
KUANTAN - Beberapa penyokong kerajaan hari ini meminta supaya tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang disifatkan sebagai 'pengkhianat' negara, yang bertindak melakukan demonstrasi haram dan merusuh di ibu negara baru-baru ini.
Mereka berkata perhimpunan haram yang turut diadakan di Arab Saudi itu, bukan sahaja menjejaskan imej negara, malah bakal mengundang bahaya yang lebih besar kepada ketenteraman dan kesejahteraan negara pada masa hadapan.
Datuk Mohamed Jaafar (BN-Jenderak) ketika membahas usul menjunjung kasih atas titah Sultan Pahang ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, berkata demonstrasi yang sama di Arab Saudi juga dilihat bakal mengundang kesan besar kepada bakal jemaah haji Malaysia.
"Rakyat Iran pernah berdemonstrasi di Makkah, kesannya Arab Saudi 'blacklist' jemaah haji dari Iran selama tiga tahun, apakah kita sanggup hadapi keadaan sedemikian?," tanya beliau.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang bangun mencelah berkata: "Jika jemaah haji Malaysia tidak dibenarkan (menunaikan haji), maka inilah jasa besar (mereka yang terbabit dalam demonstrasi) itu kepada umat Islam di negara ini," katanya sinis.
Seorang lagi penyokong kerajaan, Datuk Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) berkata mereka yang terbabit dalam demonstrasi itu adalah pengkhianat kepada negara dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas supaya perkara itu tidak berulang.
Beliau turut membidas Majlis Peguam yang bersikap tidak profesional serta rasional dalam membuat kenyataan berhubung demonstrasi itu.
"Majlis Peguam ketika ini telah dipengaruhi agenda politik, mereka menghentam keganasan polis, tetapi tidak mengemukakan prinsip mereka terhadap perusuh," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya peguam panel bagi semua jabatan dan agensi kerajaan dinilai semula bagi memastikan hanya peguam panel yang dilantik itu benar-benar mendukung akan keluhuran perlembagaan dan undang-undang di negara ini.
Wakil pembangkang, Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) yang bangun mencelah berkata: "Bukankah demonstrasi itu adalah sebahagian daripada demokrasi?".
Adnan yang bangun menjawab berkata demonstrasi itu tidak salah, cuma perlakuan mereka terbabit yang merusuh, merosakkan harta benda dan menimbulkan kekacauan itu sahaja yang salah.
"Kerajaan tidak menghalang demonstrasi, malah mencadangkan supaya diadakan di stadium, kenapa tidak diadakan di stadium?," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor