Pages

Wednesday, May 9, 2012

Peneroka Fail Injuksi Tergamam Dicabar PM


Terkejut, menangis dan ada yang menjerit melaungkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman durian runtuh sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang dibuat di Felda Jengka 8 di sini hari ini.

Malah golongan isteri peneroka yang turut menerima bahagian durian runtuh sebanyak RM5,000 setiap seorang dilihat begitu gembira sehingga ada yang berpelukan antara satu sama lain.

Justeru, di akhir majlis tersebut, Najib dikerumuni oleh para peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu bersalam, bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri.

Keseluruhannya seramai 50,000 warga peneroka hadir pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri yang diadakan di padang Felda Jengka 8, dekat sini.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kumpulan peneroka yang memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sebagai pengkhianat.

Justeru, Perdana Menteri mencabar kelompok peneroka yang menghalang usaha murni kerajaan itu supaya tidak mengambil durian runtuh yang diumumkan hari ini untuk warga Felda.

Menurutnya, mereka ini sebenarnya bermuka tebal sama seperti kelompok yang dahulunya mahu menjual Putrajaya, tetapi kini mereka juga yang beria-ia mahu menakluk Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

"Saya nak tengok muka-muka mereka itu nak ambil ke tak,'' katanya ketika berucap pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8 di sini hari ini.

Tegas Najib, pembangkang sebenarnya sudah ketandusan modal dalam usaha memenangi hati nurani rakyat seperti yang berjaya dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, sebab itu pembangkang terpaksa mencari peneroka yang sanggup bersama mereka menghalang penyenaraian itu menerusi tindakan mahkamah semata-mata untuk mensabotaj usaha baik kerajaan.

"Yang baik dipolitikkan, yang menguntungkan diselewengkan kenyataan dan fakta supaya pemikiran rakyat bercelaru dan boleh salahkan UMNO. Sampai anak yang tak pedulikan ibu pun boleh salahkan UMNO. Hebat sangatlah UMNO sampai dalam kelambu pun kita ada pengaruh,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor