Pages
▼
Tuesday, May 29, 2012
PAs Amalkan PolitikKekuasan
GURAUAN politik Pas yang mengajak UMNO bermuzakarah tetapi kemudiannya mengenakan syarat-syarat jelas membuktikan bahawa Pas sememangnya suka berpolitik dan menambah lagi kecelaruan perjuangan parti tersebut.
Jika Pas benar-benar memperjuangkan Islam sudah tentu Pas akan berusaha mengadakan muzakarah dengan UMNO tanpa melihatnya daripada sudut politik.
Soal bersetuju atau tidak, akan mencapai persefahaman atau tidak, ia soal kedua. Tetapi apa yang lebih penting umat Islam ingin melihat dua parti yang mewakili orang Melayu ini duduk semeja dan mencari titik persamaan antara mereka.
Tetapi ternyata Pas terus terbelenggu dengan permainan politik dan ia bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kita mengkaji sikap Pas sejak berkawan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Berikut penulis paparkan mengenai tingkah-laku Pas yang memungkinkan parti itu tidak layak mendabik dada menyatakan mereka sebuah parti yang memperjuangkan Islam, apatah lagi berangan-angan menggantikan UMNO.
Pas tidak konsisten
- Sejarah politik negara telah membuktikan bagaimana Pas yang ditubuhkan pada 1951 melalui perpecahan UMNO dan kelulusan penubuhannya diberikan oleh penjajah British tidak pernah konsisten dalam perjuangan. Segala keputusan dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti itu berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata.
Contoh paling ketara, apabila suatu ketika Pas menentang keras persahabatan antara UMNO dengan MCA dan MIC, mereka berhujah ke seluruh pelosok negara pada ketika itu dengan menjaja ayat al-Quran menolak kerjasama UMNO tersebut.
Tetapi kini Pas sendiri bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menentang penubuhan negara Islam, apatah lagi impian Pas untuk melaksanakan hukum hudud.
Tindakan politik yang mengelirukan
- Oleh kerana teruja dengan matlamat untuk menawan Putrajaya dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Pas sanggup melakukan apa juga tindakan politik bersama rakan sekutunya PKR dan DAP. Apa juga yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu biar pun bertentangan dengan seruan Islam tetap akan diikuti oleh Pas.
Ini jelas apabila Pas yang memperjuangkan Islam dan tidak bersedia bermuzakarah dengan UMNO kononnya kerana UMNO menolak Islam tetapi Pas sanggup bersekongkol dengan pejuang-pejuang seks songsang atas alasan menuntut pilihan raya bebas dan adil.
Malahan lebih mengecewakan, walaupun Islam mengingatkan umatnya supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan namun Pas tetap menyokong demonstrasi jalanan yang berakhir dengan kekecohan, kecederaan dan kemusnahan harta benda.
Perkara ini sudah tentulah bertentangan dengan ajaran Islam yang mahu umatnya bersederhana dalam apa juga tindakan dan tidak bertindak melampaui batas.
Menutup kebatilan dan menafikan usaha menegakkan kebenaran
- Salah satu sikap Pas yang paling ketara ialah sentiasa berusaha melindungi sama ada pemimpin parti itu atau sekutu mereka dalam apa juga perkara yang dilihat mampu menjejaskan peluang politik mereka.
Bagi Pas, jika ada apa-apa isu yang melibatkan pemimpin pembangkang mereka akan menganggap semua itu hanya fitnah dan konspirasi politik.
Mereka sama sekali tidak akan berusaha untuk menjalankan siasatan atau kajian mahupun mendesak supaya siasatan terperinci dilakukan. Tetapi sikap ini berbeza apabila jika ada perkara melibatkan pemimpin-pemimpin BN dan UMNO. Pas akan bermati-matian mendesak siasatan rapi dilakukan termasuklah penubuhan suruhanjaya diraja.
Walaupun banyak isu melibatkan pemimpin pembangkang itu boleh menjejaskan Pas sebagai sebuah parti Islam tetapi oleh kerana tok-tok guru dalam Pas turut membela pemimpin berkenaan maka terselamatlah pemimpin tersebut.
Menolak usaha menyatukan ummah demi kepentingan politik
- Walaupun pemimpin-pemimpin Pas amat memahami bahawa UMNO juga adalah sebuah parti Melayu yang disertai oleh majoriti umat Islam namun Pas tidak mahu duduk semeja demi membincangkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam.
Ajakan untuk bermuzakarah sering kali dianggap 'gurauan politik' Pas sahaja, ini jelas apabila pemimpin mereka melontarkan cadangan muzakarah berkenaan tetapi apabila pemimpin UMNO menyatakan kesediaan berbuat demikian, pemimpin Pas akan menolak dan paling anehnya menuduh muzakarah itu mainan politik UMNO.
Kalau Pas sebuah parti Islam dan memahami bagaimana umat Melayu kini berpecah belah kerana berbeza fahaman politik sudah pasti, mereka akan berusaha untuk terlibat sama menyatukannya kembali.
Tetapi Pas tidak akan berbuat demikian kerana pemimpin-pemimpin Pas sudah 'mengasuh' ahli dan penyokongnya supaya melihat UMNO sebagai musuh paling nyata. Pas lakukan semua itu kerana parti itu amat bercita-cita besar menggantikan UMNO sebagai parti orang Melayu yang utama dan terbesar di negara ini.
Malangnya, Pas terlupa fakta bahawa mereka tidak akan sama sekali menyaingi keupayaan dan kemampuan UMNO. Malahan dari segi sumbangan kepada perkembangan Islam di negara ini pun, UMNO jauh lebih berjasa berbanding Pas biar pun pemimpin-pemimpin utamanya bukan terdiri daripada alim ulama dan ahli-ahlinya berkopiah, berjubah atau berserban.
Tiada kekuatan politik hanya 'pak turut'
- Fakta ini tidak boleh dinafikan oleh kepimpinan Pas. Ini kerana Pas kini terpaksa bergantung kepada belas ihsan PKR dan DAP untuk memastikan mereka mendapat kerusi yang lebih dalam pilihan raya. Pas begitu berangan-angan menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang tetapi Pas tidak ada suara mahupun kekuatan.
Kalau Pas benar sebuah parti yang hebat seperti mana suatu ketika dulu, Pas tidak akan hanya mengikut telunjuk PKR dan DAP. Pas akan mempertahankan dasar perjuangannya dan akan berusaha memastikan kedua-dua parti itu menghormati mereka sebagai parti tertua dalam pakatan pembangkang.
Tetapi malangnya keadaan itu tidak berlaku kerana Pas terlalu takut kepada pengaruh pemimpin-pemimpin PKR dan DAP. Bagi Pas, hanya dua parti itu sahajalah harapan mereka untuk mencapai impian menjadi kerajaan di peringkat pusat.
Berikutan keadaan itulah kita melihat Pas semakin tidak rasional dalam tindakan politiknya dan apa sahaja yang dilakukan segala-galanya berpandukan kepada usaha menjaga kepentingan hubungan politik dengan PKR dan DAP.
Inilah antara perkara yang kini melumuri keghairahan Pas berpolitik sehingga memungkinkan mereka semakin tersasar daripada landasan perjuangan asal penubuhan parti tersebut.
Jika dulu Pas ditubuhkan untuk melaksanakan Islam dan menegakkan syariat Allah di bumi Malaysia ini tetapi tindak tanduk Pas sudah jauh lari daripada matlamat itu.
Hakikatnya, sejarah politik negara sudah membuktikan, Pas bukanlah sebuah parti kecil atau perlu melukut di tepi gantang bagi meraih kuasa politik tetapi kerjasama dengan PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu dilihat berada di kedudukan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor