Pages
▼
Monday, May 21, 2012
Nik Aziz Tidak Ikhlas
Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan syarat untuk bermuzakarah dengan UMNO menunjukkan Pas sebenarnya mencari alasan untuk tidak mahu berbuat demikian.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sepatutnya Nik Abdul Aziz tidak perlu meletakkan syarat untuk mengadakan muzakarah atau berbincang demi perpaduan umat Islam serta kepentingan orang Melayu di negara ini.
"Tak payahlah bersyarat-syarat, kita muzakarah nak cari perpaduan di kalangan orang Islam dan orang Melayu, jadi apa nak syarat pula. Itu (syarat) pasal nak bagi alasan tak mahu muzakarah, nanti kata tak cukup syarat," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah.
Lebih 672 pemimpin empat peringkat dari bahagian seluruh negeri hadir bersama ketua masing-masing pada majlis berkenaan.
Semalam, Nik Abdul Aziz meletakkan tiga syarat sebelum diadakan muzakarah termasuk UMNO perlu menerima rakan pakatan Pas iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam secara rasmi dan mencadangkan muzakarah diadakan sebelum pilihan raya umum.
Beberapa pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun dilapor menolak cadangan mengadakan muzakarah.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi maklum balas bahawa parti itu sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menyindir Pas kerana sanggup meletakkan syarat untuk berbincang dengan UMNO melibatkan hal Melayu, tetapi tiada sebarang syarat pula untuk bekerjasama dengan DAP.
"Dengan DAP, Pas tak letakkan syarat pula sampai Karpal Singh kata langkah mayat dia dulu pun tak apa. Beliau belum jadi mayat pun dia (Pas) dah setuju, untunglah Karpal," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor