Pages

Monday, May 14, 2012

Kasihkan Ambiga, Penyokong PAS Rela Diperhamba


GARA-gara terlalu taksub menyokong perjuangan Datuk S.Ambiga yang mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 kononnya bagi menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil, kini kedudukan jemaah haji Malaysia menjadi persoalan.

Ia berikutan tindakan segelintir penyokong Pas mengadakan demonstrasi menyokong Bersih di Madinah dan Mekah, baru-baru ini.

Tindakan berkenaan dikatakan benar-benar tidak menyenangkan kerajaan Arab Saudi yang selama ini memandang tinggi sikap berdisiplin jemaah haji mahupun umrah dari negara ini.

Penulis diberitahu oleh seorang rakyat Malaysia yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi bahawa negara tersebut sememangnya tersinggung dengan perbuatan berkenaan.

Atas sebab itulah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Jamil Khir Baharom melahirkan kebimbangan mengenai kesan akibat demonstrasi itu.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia sebenarnya bimbang perhimpunan haram itu mungkin memberi kesan kepada pemberian kuota haji untuk negara.

“Lebih membimbangkan bila musim umrah sekarang... kemungkinan pelbagai pendekatan (pihak berkuasa Arab Saudi) digunakan seperti 100 peratus pemeriksaan terhadap jemaah kerana bimbang adanya kain rentang, poster.

“Ini semua membawa kepayahan (kepada jemaah)," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Apa yang lebih mendukacitakan akibat ketaksuban melampau penyokong Pas mengadakan demonstrasi di dua kota suci itu, Kedutaan Arab Saudi di Malaysia telah menghantar nota diplomatik kepada Kementerian Luar baru-baru ini yang meminta Malaysia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rakyat negara ini tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi atau perhimpunan haram di kedua-dua kota suci umat Islam itu.

Malahan Kerajaan Arab Saudi sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau menggantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia berikutan insiden itu. Perkara itu dinyatakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad A. H dalam pertemuan dengan Jamil Khir.

Persoalannya kenapakah Pas boleh membiarkan ketaksuban pemimpin dan penyokongnya mencemarkan dua kota suci berkenaan dengan soal politik.

Tuntutan mengadakan pilihan raya bersih dan adil adalah soal politik dalaman Malaysia, oleh itu kenapa perlu ia diseret sehingga ke Mekah dan Madinah?

Mungkin Pas berpuas hati kerana imej Malaysia kini sudah tercemar tetapi bagaimana dengan nasib jutaan umat Islam negara ini yang benar-benar mahu ke Mekah dan Madinah untuk beribadah?

Apakah Pas bersedia mengambil tanggungjawab akibat keterlanjuran mereka tidak menasihatkan pemimpin dan ahli parti itu supaya tidak berdemonstrasi di Arab Saudi.


Penyelaras Penerbangan Terus Kuala Terengganu ke Mekah dan Madinah, Abu Backer Sidek yang menyaksikan sendiri demonstrasi di Mekah berkata, beliau benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku.

‘‘Saya melihat sendiri mereka begitu bangga memakai kemeja T Bersih dan melaung-laungkan slogan anti kerajaan Malaysia.

‘‘Apa yang menyinggung perasaan kerajaan Arab Saudi ialah desakan kumpulan itu yang mahu rakyat Arab Saudi bangkit menentang kerajaan mereka atas nama demokrasi.

‘‘Semua ini hanyalah mengundang padah kepada Malaysia terutamanya dalam soal urusan haji,’’ katanya ketika dihubungi penulis.

Abu Backer yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Arab Saudi juga kesal kerana Pas sanggup membiarkan pemimpin dan penyokong berpolitik sehingga ke Tanah Suci.

‘‘Ketika ini kerajaan Arab Saudi sedang mengesan mereka yang terlibat termasuk pelajar kita yang menyertai demonstrasi tersebut, mereka sudah pun mendapat beberapa maklumat yang dikehendaki dan saya percaya pasti ada tindakan yang akan diambil,’’ katanya.

Selain itu penulis difahamkan, pihak berkuasa Arab Saudi juga telah menerima beberapa keping gambar dan maklumat pemimpin serta penyokong Pas terlibat.

Tidak kisahlah apa pun keadaannya tetapi apa yang pasti sikap berpolitik keterlaluan telah menyebabkan pemimpin dan penyokong Pas semakin hilang arah tuju. Mereka terlalu terdesak untuk melahirkan pegangan politik mereka sehinggakan sampai ke Mekah dan Madinah pun mereka mahu berpolitik.

Walaupun kita tidak berhak mempertikaikan niat mereka ke Mekah namun tindakan mereka mengadakan demonstrasi berkaitan isu dalaman negara adalah tindakan kelompok yang sudah dibutakan hati dan mata mereka untuk membezakan di mana seharusnya mereka berpolitik.

Mereka langsung tidak memikirkan kesannya kepada negara kerana apa yang penting mereka berpuas hati dapat menyahut seruan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan wajib bagi mereka menyertai Bersih.

Persoalannya, terfikirkah penyokong Pas, Bersih itu idea siapa? Ia adalah cetusan fikiran dan agenda Ambiga seorang yang menyokong aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Seorang pemimpin kanan Pas sendiri sanggup tidak turun menyertai demonstrasi Bersih kerana tidak mahu bersekongkol dengan Ambiga.

Tetapi prinsip ini tidak ada kepada dua pemimpin Pas yang berdemonstrasi di Mekah dan Madinah, malahan mereka bangga apabila blog-blog memaparkan aksi tidak berfaedah mereka itu.

Hakikatnya, kerajaan Malaysia tidak pernah melarang rakyatnya berpolitik, sokonglah siapa pun yang mereka mahu dan parti mana yang mereka kehendaki tetapi biarlah ia dalam lingkungan dalam negara sahaja, bukan luar negara apatah lagi di Arab Saudi.

Sebab itulah, kalau kita kaji setiap kali penghantaran kumpulan pertama jemaah haji dilakukan setiap tahun, pesanan paling penting yang disampaikan oleh pemimpin negara ialah jangan lakukan tindakan berpolitik di negara berkenaan.

Pesanan dan nasihat itu bukannya dilakukan secara suka-suka tetapi sebagai isyarat kepada jemaah haji dan umat Islam dari Malaysia bahawa tindakan berpolitik di Arab Saudi boleh memberi kesan cukup besar kepada negara ini.

Dan sekarang semua sudah terbukti apabila kerajaan Arab Saudi sudah tersinggung dengan gelagat beberapa ‘badut-badut’ politik daripada Pas.

Pas sudah pasti tidak akan berdiam diri dan sampai ke hari ini pun tidak ada satu pun ulasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin parti itu biar pun demonstrasi berkenaan dikatakan melibatkan dua pemimpin kanan sayap Pas.

Seharusnya apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Pas ini menyedarkan umat Islam bahawa inilah bahananya kalau taksub membuta tuli dan akibat dicengkam oleh politik kepartian melampau.

Di mana sahaja mereka mahu berpolitik hatta di Mekah dan Madinah sekali pun biar pun hakikatnya di kedua-dua tempat tersebut, tumpuan sebenar hanyalah beribadat kepada Allah SWT dan melupakan segala urusan dunia.

Sebab itulah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan, membawa agenda politik di Mekah dan Madinah sudah mencemarkan tujuan sebenar kita ke sana, perkara ini perlu dielakkan.

Percayalah tidak kira siapa pun yang memberi nasihat ia tidak akan menginsafkan puak-puak yang berdemonstrasi berkenaan.

Ia memandangkan Pas sememangnya sentiasa bersedia menjadi ‘pak turut’, begitulah juga apabila mereka melakukan demonstrasi berkenaan semata-mata demi perjuangan Ambiga!

1 comment:

  1. Allah maha kaya..kita bsabar sikit lagi..manusia Bongkak dn angkuh ni tak lama..tunggu lah

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor