Pages

Sunday, May 20, 2012

Jangan Salah Guna Demokrasi


RAUB - Pembangkang diingatkan supaya tidak menyalahgunakan prinsip demokrasi dengan memutar belit kebenaran demi meraih sokongan rakyat bagi kepentingan politik mereka semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, walaupun demokrasi memberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja bagi meraih sokongan rakyat namun ia tidak harus disalah guna dengan menyebar fitnah.

Katanya, pembangkang sering kali menjaja soal demokrasi semasa berkempen tetapi mereka juga yang menggunakan kebebasan itu dengan menganjurkan demonstrasi yang berakhir dengan huru-hara.

"Pembangkang hanya tahu mengkritik dan menafikan segala usaha dan kebaikan yang dilaksanakan kerajaan yang semuanya seolah-olah kerajaan bohong, palsu dan menipu rakyat.

"Pada hal mereka sebenarnya yang berbohong dan tidak berbuat apa-apa pun untuk rakyat tetapi hanya tahu memaki hamun dan memutar belit segala fakta dan kebenaran," katanya.

Beliau berucap pada majlis pengagihan wang durian runtuh sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) kepada 474 peneroka Felda Sungai Klau Raub.

Menurutnya, jika ini terus berlaku maka malang bagi orang Melayu kerana mereka akan terus berpecah dan akhirnya tidak mustahil negara akan dijajah semula seperti 400 tahun yang lalu.

Justeru, Shahiruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub mengingatkan peneroka Felda supaya menolak sama sekali petualang yang cuba menghasut dan memecahbelahkan mereka.

Katanya, langkah kerajaan membuka tanah rancangan Felda terbukti bukan sahaja dapat mengubah nasib penduduk miskin untuk menjalani kehidupan yang lebih baik tetapi hari ini mereka mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.

"Nasib peneroka kini jauh berbeza berbanding pada mula-mula mereka memasuki tanah rancangan. Ini terbukti peneroka Felda Sungai Klau yang telah menyertai Felda 40 tahun lalu kini mendapat pendapatan yang baik dengan memiliki aset berharga.

"Kini menerima durian runtuh RM15,000 pula hasil penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia yang menunjukkan kerajaan sentiasa berusaha melakukan transformasi untuk kebaikan peneroka dan seharusnya peneroka perlu memberikan sokongan kepada kerajaan dan Felda," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa peneroka yang sesat dan bersama pembangkang supaya kembali ke pangkal jalan dengan menyokong kerajaan dan Felda untuk jaminan masa depan mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor