Pages

Tuesday, April 10, 2012

Malaysia Boleh Muflis - Janji Pembangkang


Negara akan muflis dalam tempoh dua tahun jika pakatan pembangkang memerintah dan menunaikan tiga perkara yang dijanjikan dalam siri kempen politik mereka sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tiga janji tersebut iaitu menghapuskan kutipan tol, gaji minimum RM4,000 sebulan dan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, sekiranya pembangkang memerintah negara ini, mereka memerlukan RM200 bilion setahun untuk menunaikan kesemua janji tersebut.

''Ketiga-tiga janji itu tidak realistik kerana untuk menghapuskan kutipan tol sahaja kerajaan memerlukan perbelanjaan tambahan RM100 bilion, PTPTN, RM43 bilion dan gaji minimum, hampir RM60 bilion setahun.

''Tujuan menghapuskan PTPTN adalah bagi menarik sokongan orang muda tapi janji itu akan merugikan negara sebanyak RM43 bilion setahun. Perbelanjaan itu cukup besar serta akhirnya rakyat terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, jumlah wang itu boleh dibelanjakan bagi meningkatkan prasarana lain seperti taraf kesihatan rakyat, pendidikan dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau berharap golongan muda tidak terpengaruh dengan janji kosong pembangkang kerana kini kerajaan menanggung 70 peratus kos pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT).

''Pelajar IPT mengeluarkan perbelanjaan 30 peratus sahaja daripada keseluruhan kos pengajian dan mereka hanya dikenakan faedah yang sangat rendah iaitu satu peratus.

''Pembayaran balik wang tersebut juga digunakan sebagai modal pusingan untuk pinjaman pelajar selepas mereka," katanya.

Tiong Lai memberitahu, pelaksanaan gaji minimum RM4,000 sebulan boleh menyebabkan pelabur tidak akan datang di negara ini kerana perkara itu tidak kompetitif dengan produktiviti.

Sebaliknya, jelas beliau, pelabur asing akan melabur di negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja kerana mereka menawarkan gaji dan tenaga buruh yang rendah dan berdaya saing.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor