Pages

Friday, April 20, 2012

Akhirnya PAS Ditumbangkan DAP Di Kelantan


KIRA-kira 21 tahun lalu, penyokong Pas di Kelantan, pastinya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti, bendera DAP-parti yang terang-terangan menentang penubuhan negara Islam diperjuangkan Pas, bakal ‘berkibar’ di bumi bertuah Cik Siti Wan Kembang ini.

Mereka juga sudah pasti tidak pernah membayangkan akan melihat pemimpin DAP bakal duduk sebaris pemimpin Pas lain, khususnya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pentas ceramah sama.

Malah, jauh sekali ahli-ahli Pas membayangkan pemimpin mereka termasuk Nik Abdul Aziz akan makan malam atau duduk semeja dengan pemimpin DAP dalam majlis, bagi mengumpul dana pilihan raya sebagaimana berlaku di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) baru-baru ini.

Ahli-ahli Pas sedar dan insaf bahawa pemimpin DAP tidak akan pernah merestui perjuangan parti mereka untuk melaksanakan hudud dan menegakkan negara Islam yang diperjuangkan Pas selama ini. Tentangan DAP itu secara terang-terangan dinyatakan oleh Pengerusinya, Karpal Singh apabila mengeluarkan kenyataan ‘langkah mayat’ dia dahulu jika Pas tetap juga hendak meneruskan cita-cita politiknya itu.

Ibarat pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kebimbangan ahli-ahli dan penyokong Pas itu seperti tidak diendahkan oleh sekelompok pemimpin mereka. Justeru, igauan buruk ahli-ahli Pas itu menjadi kenyataan apabila bendera DAP dikibarkan sebaris dengan bendera Pas di negeri yang mereka kuasai - iaitu sekitar Padang Perdana dan Jalan Mahmood bersempena program Solat Hajat dan Ceramah Perdana anjuran Pas Kota Bharu, pada 30 Mac lalu.

Selain Nik Abdul Aziz, ceramah itu turut menampilkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw. Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan pernah berceramah di sini.

“Ini kali pertama dalam tempoh 30 tahun saya berada di Kelantan melihat suasana macam ini (bendera DAP berkibar di Kelantan),” kata seorang kenalan yang juga anggota keselamatan.

Apa yang pasti, jelas rakan itu lagi, pakatan Pas dengan pembangkang menyaksikan apa yang selama ini mustahil dan tidak mungkin berlaku, sekarang berlaku. Bagi pemerhati politik, perkembangan itu mencetuskan pelbagai persoalan, ditambah dengan tema ceramah bertajuk ‘Putrajaya bermula di sini.’ Kenapa Anwar memilih Kelantan, tidak Selangor, negeri yang dikuasai oleh PKR atau Pulau Pinang di bawah DAP, atau paling tidak kawasan Parlimen beliau sendiri, Permatang Pauh? Mungkin telahan sesetengah pihak bahawa Anwar sebenarnya hanya hendak memperalat ahli dan penyokong Pas di Kelantan ada benarnya?


Buktinya, ahli-ahli dan pendukung Pas di Kelantan sanggup bersolat hajat, bermunajat mendoakan sama kemenangan PKR dan lebih tragis DAP, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Bukan setakat di Kelantan, Unit Dakwah dan Islah Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat Pas Pusat turut melancarkan kempen mengajak umat Islam mengamalkan tujuh sunnah harian Nabi Muhammad SAW antara lain solat witir, tahajud, baca al-Quran dan solat dhuha untuk membantu kemenangan pakatan pembangkang termasuk DAP.

Penyertaan Pas dalam pakatan pembangkang, ternyata lebih menguntungkan PKR, terutama DAP apabila pemimpinnya turut diberi ‘penghormatan’ duduk dan berceramah bersama-sama pemimpin tertinggi Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Persaudaraan Pas dalam pakatan pembangkang juga memaksa pemimpin dan ahli Pas ‘menelan hakikat’ mereka terpaksa menjalin hubungan akrab dengan parti yang selama ini terang-terangan menentang pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam hendak dilaksanakan Pas.

Kelantan majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam. DAP sememangnya tidak mempunyai sebarang kerusi di sini. Namun, tidak diketahui sama senario itu akan berubah pada masa hadapan, mengambil kira jalinan muhibah antara Pas- DAP-PKR dan pertambahan penduduk bukan Melayu di Kelantan khususnya di bandar Kota Bharu sekarang.

Teringat penulis mengenai ceramah bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali di Pintu Geng sebelum ini bagaimana puak yang dilabelnya sebagai ‘parasit’ menyusup masuk ke dalam Pas Kelantan. Kumpulan itu yang turut dikaitkan dengan golongan Anwarinas, dikatakan bertanggungjawab mengubah hala tuju perjuangan Pas yang kini memperjuangkan negara berkebajikan, tidak lagi negara Islam.

Mungkinkah kehadiran DAP di Kelantan ketika ini ada hubungkait dengan kewujudan kumpulan parasit dan Anwarinas yang diperkatakan oleh Hasan itu?

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor