Pages
▼
Friday, January 13, 2012
Jihad Mengikut Jalan Islam
AL-QURAN telah menyebut lebih awal mengenai manusia sebelum makhluk itu diciptakan Allah. Dalam surah al-Baqarah ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Nada protes oleh malaikat jika dilihat dalam realiti peradaban manusia yang silih berganti, jatuh dan bangun, gema pertanyaan malaikat dan jawapan Allah masih tetap segar.
Peperangan dan pembunuhan sesama manusia tetap berlaku. Peperangan berlaku di mana-mana walaupun ia dibenci oleh fitrah manusia.
Demikianlah kesan kebebasan berkehendak dan bertindak yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia dan tidak seperti malaikat yang hanya mengerjakan apa yang diperintah-Nya.
Namun perang mengandungi rahmat bagi manusia dan kebaikan bagi mereka dalam mempertahankan maruah diri, agama dan bangsa. Islam yang hanif menganggap perang adalah suatu tindakan wajar yang harus dilakukan oleh sebuah negara Islam bagi tujuan mewujudkan keadilan, kejujuran dan membersihkan daripada orang yang zalim.
Dalam Islam, perang disyariatkan demi mempertahankan diri, kehormatan, harta, tanah air serta menghindarkan daripada kesulitan dan kesiksaan.
Allah berfirman yang bermaksud: Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan alasan yang benar; (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: ''Tuhan kami ialah Allah."
Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya; dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan. Dan (ingatlah) Allah jualah kesudahan segala urusan. - (Surah al-Hajj: 39-41)
Ingatlah kemenangan dalam setiap peperangan serta kedaulatan yang dianugerah Allah itu tidak menjadikan mereka sombong dan berbuat zalim. Perang bukanlah arena pelampiasan syahwat untuk membinasakan manusia, meskipun kita telah mencapai kemenangan.
Namun ada batasnya yang ia harus berhenti, ''kerana jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim." (Maksud surah al-Baqarah, akhir ayat 193).
Umat Islam harus mengambil semangat dari Perang Badar yang merupakan jihad pertama dalam sejarah Islam. Sejarah perjuangan Rasulullah SAW yang penuh hikmah, mengisytiharkan perang setelah diizin oleh Allah SWT. Bagi menghadapi kerenah musyrikin Mekah. Demikian juga perang yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas Rumawi setelah mereka membunuh orang Arab Syam yang memeluk Islam.
Dalam mencapai kemenangan jihad dalam Islam memerlukan pengorbanan yang besar dan bervariasi. Kerana musuh juga memiliki kekuatan yang tidak mudah untuk dikalahkan. Harta, fikiran, tenaga bahkan nyawa sekalipun harus rela dikorbankan dalam berjihad.
Pejuang yang gugur dalam jihad dinamakan oleh Islam dengan al-Syahid. Gelaran ini mengandungi makna yang amat tinggi bagi seorang Mukmin sejati. Semangat jihad inilah yang menjadi sumber kekuatan umat Islam untuk menakutkan para musuh Islam walaupun secanggih mana kelengkapan senjata mereka.
Menurut Syaikh Abd. Al-Halim Mahmud Ali Ahmad bekas Rektor Universiti Al-Azhar, jihad dalam Islam perlu disertai persiapan mental yang kuat bagi menghadapi salah satu daripada dua situasi yang akan dihadapi iaitu menang atau syahid. Keteguhan jiwa seperti ini merupakan cerminan daripada iman yang kuat dan selanjutnya akan mengobarkan kekuatan yang besar menghadapi musuh.
Menurut syariat Islam (fiqhul jihad), peperangan atau pelancaran jihad haruslah memenuhi syarat-syarat: pertama, tidak boleh membunuh atau melancarkan jihad disebabkan sentimen perbezaan etnik, kaum dan kebangsaan.
Perkara ini adalah diharamkan kerana Islam tidak pernah membezakan status keislaman berdasarkan sentiment itu. Justeru, Allah menciptakan manusia secara berbeza-beza untuk saling kenal mengenali dan menyambung ikatan persaudaraan (silaturrahim).
Kedua, tidak boleh membunuh rakyat awam dan warga bukan muslim yang tidak terlibat dalam peperangan. Ketiga, tidak boleh membunuh wanita, kanak-kanak dan warga emas kerana golongan ini wajib dilindungi.
Keempat, tidak boleh menggunakan rakyat awam sebagai perisai hidup untuk melindungi daripada serangan musuh. Kelima, wajib membebaskan musuh yang meminta jaminan keselamatan dengan memberikan pampasan. Keenam, merampas harta benda musuh yang bukan haknya.
Bagaimanapun harus diingat bahawa masih ada jihad yang lebih besar daripada jihad peperangan atau pertempuran fizikal sebagaimana sabda Rasulullah SAW ketika beliau baru saja kembali dari medan pertempuran, sabdanya yang bermaksud: Kita kembali dari jihad terkecil menuju jihad terbesar, iaitu jihad melawan hawa nafsu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor