KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa UMNO adalah parti yang mendakap demokrasi dan bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politiknya.
Najib berkata oleh sebab itulah apabila beliau mengambil alih tampukkepimpinan parti dan kerajaan 30 bulan yang lalu, beliau dan rakan-rakan samaada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.
"Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang UMNO diberi hak untuk memilih pemimpin mereka," katanya dalam ucapan dasarnya bertajuk "UMNO Menjuarai Transformasi" pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Katanya, sikap UMNO yang sentiasa mendakap demokrasi itu tepat digambarkan oleh pepatah Inggeris "the proof of the pudding is in the eating" (belum tahu buruk baiknya kalau belum dicuba).
Serentak itu, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN, menyindir parti-parti lawan yang sebenarnya lebih tidak demokratik daripada UMNO.
"Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pula daripada Presiden parti.
"Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.
"Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. La hawla wala...., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa daripada Presiden.
"Tambahan lagi Parti A itu, suami ketua umum, isteri presiden, anak perempuan sulung naib presiden, timbalan presiden pulak.....emm...tak payah lah kita cerita," kata Najib.
Beliau berkata selama hampir enam dekad, UMNO menjadi parti teras yang menonggak kejayaan dan rekod-rekod membuktikan bahawa Umno tidak pernah mendominasi atau berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.
"Jauh sekali daripada kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijmak dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi. Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dahulu. Parti C pula kata "kita tukar jadi negara kebajikan". Pening dan keliru rakyat dibuatnya," kata beliau.
Najib berkata berbeza dengan UMNO, sebagai parti teras, UMNO mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen dengan sifat pragmatik, realistik dan ikhlas.
"Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Kita saling percaya-mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuat kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini," katanya.
Beliau berkata, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat malah ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah.
"Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah Orang Asli dan orang Siam. Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita," katanya.
Presiden UMNO itu juga mengingatkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang amat berjasa bukan sahaja kepada oang Melayu malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
"Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, apabila hari ini, UMNO, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus daripada helaian sejarah.
"Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.
"Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air di kali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?" katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor