Stesen radio popular BFM 89.9 menjelaskan bahawa ia tidak menerima sebarang tekanan supaya membatalkan temubual dengan ahli parlimen PKR yang terlibat di lobi anti-Lynas.
Ketika dihubungi, penerbitnya, Noelle Lim berkata temubual dengan
ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh hanya ditangguhkan untuk mengambil pendekatan yang berbeza terhadap isu-isu yang membabitkan loji nadir bumi Lynas di Gebeng.
Sambil menegaskan mungkin berlaku salah faham, Noelle berkata, pihaknya tidak meneruskan temubual tersebut kerana mahu mengadakan panel perbincangan dengan pakar nadir bumi bersama dengan Fuziah.
Temubual itu akan diteruskan "pada tarikh kemudian" kerana ramai pakar yang sedang bercuti ekoran musim perayaan.
Stesen tersebut tidak menerima apa-apa panggilan dari "orang berkuasa" berhubung perkara itu, kata Noelle menafikan dakwaan Fuziah.
Stesen itu hanya "mahu bersikap berkecuali", tegas Noelle sambil menambah pihak pengawalselia tidak meminta pihaknya supaya jangan mengadakan sebarang temubual mengenai Lynas.
Fuziah telah menulis di Twitter bahawa sebuah stesen radio telah membatalkan temubual tersebut "pada saat-saat akhir".
Dihubungi kemudian, naib presiden PKR berkata, beliau dimaklumkan mengenai 'pembatalan' tersebut selepas menunggu selama 15 minit di stesen radio itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor