Pages
▼
Saturday, December 3, 2011
Beza Orang UMNO Dan Ahli UMNO
APABILA Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan dalam ucapan dasarnya bahawa ahli UMNO tidak sekadar menjadi ahli tetapi paling penting “orang UMNO”, ramai tertanya-tanya.
Ada yang berhujah apa bezanya antara ahli UMNO dan orang UMNO, bukankah ia membawa maksud yang sama? Mungkin dari segi istilah ia dilihat sama namun dari segi semangat ia membawa maksud berbeza. Semangat ahli boleh pudar bila-bila masa sebab itu ada istilah ahli tidak aktif tetapi kalau semangat orang UMNO ia akan membawa semangat parti sehingga akhir hayat.
Sampai bila-bila pun di mana juga ia berada, semangat sebagai orang UMNO tidak akan luntur, dia akan melakukan apa sahaja demi mempertahan dan menjayakan parti. Ini berbeza dengan istilah ahli, di mana ada sesetengah ahli semangatnya hanya sementara, apabila dia melihat kepentingannya sudah tiada, maka parti ditinggalkan.
Sebab itulah Najib menggariskan tiga perwatakan yang ada kepada orang UMNO iaitu taat setia, cinta dan kasih, berkhidmat tanpa jemu dan berkorban. Sama ada hendak diakui atau tidak, tiga elemen inilah yang masih kurang di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli UMNO sebab itulah parti tersebut tidak habis-habis dilanda masalah dalaman dan ia paling ketara apabila parti itu berhadapan dengan pilihan raya.
Fenomena tidak taat dan setia kepada parti wujud apabila individu tidak terpilih sebagai calon atau tewas dalam pemilihan, beliau dan penyokong akan merajuk, maka berlakulah perbuatan sabotaj parti. Tetapi kalau mengaku diri mereka adalah orang UMNO, mereka tidak akan melakukan pengkhianatan.
Sebab itulah Najib mahu ahli UMNO bersikap sebagai orang UMNO kerana orang UMNO sama sekali tidak akan mengkhianati parti, sebaliknya akan taat dan setia terhadap apa juga arahan kepimpinan. Begitu juga berhubung watak kedua iaitu cinta dan kasih, orang UMNO yang mempunyai perasaan sedemikian sudah pasti tidak melakukan perbuatan yang memusnahkan parti.
Di mana sahaja dan dalam keadaan apa sekali pun, mereka tetap mempertahankan parti kerana perasaan cinta dan kasih itu akan mendorong mereka melakukan apa juga tindakan demi kepentingan parti.
Mereka tidak cinta dan kasih parti demi kepentingan peribadi, mereka tidak cinta dan kasih parti hanya kerana kelompok yang mereka sokong dan sudah tentu mereka tidak cinta dan kasih parti semata-mata kerana mengejar kedudukan. Sebaliknya mereka cinta dan kasih parti demi perjuangan suci UMNO.
Apabila perasaan cinta dan kasih kepada parti sudah dapat disematkan, maka wujudlah elemen ketiga iaitu berkhidmat tanpa jemu dan berkorban. Jika mahu dikaji, watak orang UMNO yang diinginkan oleh Najib ibarat senario yang berlaku dalam dunia percintaan yang seterusnya berakhir dengan perkahwinan.
Begitulah juga ahli UMNO, mereka perlu menanam tekad menjadi orang UMNO dan bukan sekadar mendaftar sebagai ahli. Apalah erti 3.2 juta ahli, jika di sanubari mereka tidak ada sikap dan keazaman untuk menjadi orang parti yang taat setia, cinta dan kasih serta rela berkorban demi parti?
Cubalah pemimpin dan ahli UMNO bermuhasabah bagi mengkaji seruan Najib, kemudian kaitnya dengan nasib UMNO pada pilihan raya umum 2008 lalu. Tidakkah kerana kekurangan tiga watak itulah yang memungkinkan pembangkang boleh merampas majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan menawan Kelantan dan kini di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak selama 11 bulan.
Sudah berkali-kali dikatakan bahawa pembangkang tidaklah kuat tetapi faktor kejayaan mereka dalam pilihan raya adalah kerana kelemahan UMNO sendiri. Kenapa UMNO lemah? Bukankah UMNO mempunyai 3.27 juta ahli? Bukankah UMNO bergabung dengan 13 parti lain dalam komponen BN? Bukankah rekod UMNO sejak merdeka lagi menunjukkan parti itulah yang bertanggungjawab dengan rakan-rakan BN membawa kemajuan dan kesejahteraan rakyat kepada negara ini? Tetapi kenapa UMNO masih kalah? Segala-galanya kerana sesetengah pemimpin ahli UMNO hanya menjadi ahli, namun mereka tidak menyerap semangat parti.
Perasaan taat setia, cinta dan kasih serta sedia berkorban hanya sementara, apabila mereka tidak lagi boleh mendapatkan keuntungan daripada parti mula mereka buat perangai. Sebab itulah, dalam UMNO masih wujud budaya, tikam belakang, cah keting, merajuk, sabotaj dan pelbagai perangai buruk lain di kalangan mereka yang mendakwa menjadi ahli parti keramat tersebut.
Justeru apabila Najib menggariskan tiga elemen dan mahu mereka menjadi orang UMNO, ia adalah seruan yang tepat memandangkan parti tersebut akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13.
Kalau UMNO masuk ke gelanggang pertarungan getir itu dengan ahli yang tiada semangat seperti mana dikatakan oleh Najib, percayalah UMNO akan menempah bencana. Justeru sudah tiba masanya gesaan supaya mereka menjadi orang UMNO dipatuhi. Janganlah lagi bersandiwara dan bermuka-muka, jadilah orang UMNO sebenarnya kerana sebaik sahaja perhimpunan agung berakhir hari ini, bermulalah persiapan ‘peperangan besar’ iaitu pilihan raya.
Dan ketika itulah, sikap taat setia, cinta dan kasih serta berkorban demi perjuangan parti akan benar-benar dituntut kerana mereka sudah berbaiah dan sudah berikrar akan berjihad demi kepentingan bangsa, agama dan negara.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor