Pages

Thursday, August 18, 2011

Mengenang Jasa Tun Razak


Program mengenang bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang baru-baru ini, mengimbau pelbagai kejayaan negara di bawah kepimpinan negarawan itu.

Program yang julung kali diadakan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini itu dianjur bersama oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Arkib Negara. Majlis perasmian program disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan anak sulung pemimpin tersohor itu di Dewan Utama UiTM Pahang.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dr. Samsiah Muhamad.

Antara jabatan kerajaan yang mengambil bahagian ialah Perpustakaan Negara dan Jabatan Muzium Negara.

Pelbagai atur cara menarik diadakan sepanjang program selama tiga itu termasuk bicara tokoh dan pameran kehidupan Allahyarham Tun Abdul Razak sama ada ketika berkhidmat dengan kerajaan atau ketua keluarga.

Aktiviti lain yang turut diadakan termasuk tahlil khas dan perlawanan bola sepak persahabatan veteran.

Samsiah ketika ditemui berkata, program itu bertujuan mengenang tokoh negarawan yang banyak menyumbang jasa dalam merangka dan memacu pembangunan negara.

“Segala jasa dan bakti Bapa Pembangunan itu amat berharga kepada semua kaum yang memijak bumi tercinta ini. Program ini mengetengahkan keistimewaan Tun Abdul Razak sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang natijahnya rakyat dapat menikmati pembangunan yang diwarisi hari ini,”

Menurut Samsiah, karnival dan pameran itu berjaya menarik minat pelbagai golongan terutama pelajar sekolah dan penuntut UiTM Pahang.

Kata beliau, program itu sebagai sokongan terhadap Felda yang menganjurkan sambutan Hari Peneroka peringkat kebangsaan dan penjenamaan semula di Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

Menurutnya, segala bahan koleksi tokoh pemimpin negara ini adalah penting kerana ia membentuk sebahagian khazanah warisan sejarah yang bernilai untuk rujukan generasi akan datang.

“Arkib Negara akan terus berusaha melaksanakan tanggungjawab dalam mengumpul, menyimpan dan memelihara segala rekod dan bahan-bahan koleksi tokoh pemimpin negara,” katanya.

Ismail pula menyifatkan program mengenang tokoh itu memberi peluang kepada generasi baharu melihat dan menilai sendiri peranan serta sumbangan negarawan terhadap pembangunan negara.

Tegasnya, Tun Abdul Razak merupakan satu nama yang terpahat dalam ingatan penduduk Kuala Krau kerana sifat patriotik dan berjiwa rakyat sebagaimana yang ditonjolkan anaknya, Najib.

Fakta sejarah membuktikan Tun Abdul Razak seorang negarawan yang sanggup meredah hutan untuk memastikan rakyat terbela.

Menurut beliau, segala jasa, bakti dan kegigihan Tun Abdul Razak wajar dicontohi bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga pemimpin di semua peringkat.

“Tun Abdul Razak meninggalkan legasi kepimpinan yang terbilang dan berwawasan untuk diteruskan kesinambungannya oleh generasi pewaris negara,” katanya.

Beliau membidas kelompok dan individu yang ghairah untuk menghancurkan masa depan negara yang diasaskan pemimpin terdahulu.

Bagi Wan Salman, program mengenang Tun Abdul Razak amat bermanfaat kepada generasi baharu untuk lebih patriotik.

Ini kerana ujarnya, kemajuan dan kemakmuran negara yang dinikmati rakyat bukan datang bergolek tetapi hasil perancangan pemimpin terdahulu yang berwawasan dan bijaksana.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor