Pages
▼
Wednesday, August 3, 2011
IPGTAA sertai cabaran Liga PPD
Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini bakal memberi cabaran dalam kejohanan Liga Bola Sepak Piala Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Lipis yang berlangsung di Padang Dataran Lipis di sini bulan depan.
IPGTAA bakal berhadapan dengan enam pasukan lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orang Kaya Haji, SMK Sungai Koyan, SMK Merapoh, SMK Padang Tengku, Sekolah Menengah Vokasional Lipis dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis.
Timbalan Pengarah IPGTAA, Roselan Ahmad berkata, penyertaan pasukan itu dapat memberi ruang kepada pensyarah dan kakitangan institut berkenaan menjalinkan hubungan dengan guru sekolah di daerah ini.
"Kejohanan ini merupakan kegiatan riadah berasaskan amalan gaya hidup sihat di kalangan pensyarah dan kakitangan di sini selain menunjukkan bakat serta kemahiran masing-masing menerusi sukan ini.
"Kejohanan ini juga mewujudkan interaksi dan kolaborasi kemahiran di samping bersaing secara sihat dengan pasukan lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, kapten pasukan IPGTAA, Shahnam Abd. Rashid memberitahu, skuad bola sepak IPGTAA diperkuatkan oleh barisan pemain yang telah menjalani latihan sejak sebulan lalu.
''Bukan soal menang atau kalah tetapi matlamat utama penyertaan kejohanan ini lebih menjurus kepada mengukuhkan hubungan kekeluargaan antara pensyarah dan kakitangan IPGTAA yang sibuk dengan tugas masing-masing," ujarnya.
Selain Liga PPD, Shahnam berkata, IPGTAA berhasrat menyertai kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Lipis dan pertandingan di peringkat belia, mukim dan UMNO Lipis.
Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, Shahrom Othman pula berkata, kejohanan itu merupakan inisiatif guru sukan daerah itu untuk mengembangkan permainan bola sepak membabitkan institusi pendidikan tinggi dan sekolah menengah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor