Pages
▼
Tuesday, July 12, 2011
Riadah di Gimnasium IKIP
Pusat kecergasan fizikal atau gimnasium di bandar ini tumbuh bagai cendawan berikutan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
Walaupun terdapat beberapa pusat rekreasi yang menyediakan trek larian atau peralatan senaman, tetapi gimnasium tetapi menjadi pilihan utama. Menyedari tentang sambutan tersebut, Kolej Antarabangsa IKIP tidak ketinggalan menaik taraf gimnasiumnya dengan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Gimnasium tersebut yang terletak di kampus Utama IKIP di Kubang Buaya di sini mampu memberi pengalaman hebat dalam aktiviti kecergasan fizikal. Kemudahan lain yang boleh didapati di situ adalah bilik sauna, bilik mandi, almari simpanan barang serta ruang santai.
Ketua Unit Pembangunan dan Sukan Gimnasium IKIP, Mohd. Norsham Nisam Abdul Malik berkata, banyak keistimewaan boleh didapati di gimnasium itu yang telah dinaik taraf dengan pelaburan sebanyak RM170,000.
“Di sini, kami menyediakan lebih daripada 30 peralatan senaman selain kawasan luas dengan reka bentuk menarik turut menyumbang kepada faktor keistimewaan gimnasium itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohd. Norsham berkata, pihaknya turut menerima pengunjung lebih daripada 100 orang sehari dan setakat ini pusat tersebut sudah mempunyai 200 ahli tetap.
Dalam pada itu, seorang jurulatih di gimnasium tersebut, Muhammad Ridzaudin Sulaiman berkata, pihaknya menawarkan peralatan kecergasan terkini untuk digunakan setiap pelanggan.
Katanya, antara alat yang terdapat di sini adalah mesin kardio, rotary torgo, power plate, treadmill dan banyak lagi.
Bagi pelanggan yang gemar mendapatkan perkhidmatan jurulatih peribadi jelasnya, mereka boleh mendapatkannya dengan bayaran hanya RM40 untuk tempoh sejam hingga dua jam atau RM500 sebulan.
“Seawal pukul 7.30 pagi, kami sudah menerima kehadiran pelanggan atau mereka yang telah mendaftar sebagai ahli. Mereka biasanya terdiri daripada individu yang bekerja dan pelajar,” katanya.
Beliau memberitahu, bagi individu yang berminat boleh terus mendaftar sebagai ahli dengan yuran bulanan sebanyak RM80 manakala pelajar pula RM40.
Dalam pada itu, Pengurus IKIP, Ahmad Shukri Abdul Aziz turut berkata, pihak pengurusan menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat seperti seminar kesihatan dan senamrobik secara percuma.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor