Antara keselamatan awam dan perniagaan
Oleh Mustapa Mohamed
Pada 4 Jun yang lepas, Panel Bebas Pakar Antarabangsa yang dilantik untuk menilai projek Lynas kembali semula ke Vienna bagi menyelesaikan kajian mereka. Kehadiran panel bebas tersebut di Malaysia bertujuan mengkaji aspek keselamatan kilang pemprosesan nadir bumi yang dicadangkan di Gebeng, Pahang dan laporan hasil akan dikemukakan kepada kerajaan pada akhir bulan ini.
Proses ini melengkapkan satu fasa daripada keseluruhan proses membuat keputusan yang mempunyai implikasi penting terhadap kerajaan dan rakyat. Aspek keselamatan awam tidak akan sekali-kali dikompromi Kerajaan “Rakyat Didahulukan” pada masa ini.
Izinkan saya memberi penjelasan.
Pertimbangan ekonomi
Lynas Corporation Ltd. merupakan sebuah syarikat Australia yang diberikan kelulusan pada Januari 2008 untuk mendirikan sebuah kilang di Pahang. Syarikat tersebut tiada bezanya daripada pelabur-pelabur asing yang lain yang melabur di sini.
Mereka datang ke negara kita kerana merasakan mereka boleh mendapatkan pulangan yang berpatutan dari pelaburan mereka, dan juga kerana mereka percaya bahawa mereka akan dilayan secara adil, seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan dan undang-undang sedia ada.
Kita mengalu-alukan pelaburan asing kerana mereka membantu dalam proses modernisasi dan pertumbuhan ekonomi negara. Sudah tentu bukan sekadar pelaburan rambang, tetapi pelaburan yang bersesuaian.
Semasa kita mempertimbangkan sesuatu cadangan pelaburan, banyak persoalan diajukan seperti: Apakah faedah yang dibawa bersama? Akan adakah limpahan ekonomi yang boleh menguntungkan sektor-sektor ekonomi yang lain? Adakah pelaburan ini mewujudkan peluang-peluang pekerjaan? Apakah jenis pekerjaan yang akan ditawarkan? Akan adakah perpindahan teknologi atau kemahiran? Dan seterusnya.
Ini adalah antara faktor-faktor asas yang kita pertimbangkan ketika menilai sesuatu cadangan pelaburan asing. Satu kajian yang menyeluruh dijalankan bagi tujuan ini, dan kelulusan akan dibuat bergantung pada hasil kajian yang dijalankan.
Isu berkaitan tataurus
Sewaktu cadangan pelaburan Lynas mula-mula dikemukakan kepada kerajaan pada 2006, ia telah menimbulkan persoalan yang melangkaui lingkup pertimbangan-pertimbangan ekonomi ini. Isu berkaitan keselamatan dan kesihatan awam, dan alam sekitar turut diberi perhatian.
Kerajaan amat sedar bahawa industri nadir bumi ini berkait rapat dengan isu kesihatan dan keselamatan, terutama berdasarkan pengalaman daripada projek Asian Rare Earth (ARE) di Perak pada awal tahun 1990-an. Justeru, persoalan mengenai kesan projek Lynas terhadap kesihatan awam adalah sangat relevan.
Bagaimana ia akan memberi kesan kepada alam sekitar dan kehidupan masyarakat yang tinggal disekitarnya? Apakah risikonya dapat diukur, dan masih dalam batas yang boleh diterima pakai? Adakah kita mempunyai undang-undang, peraturan dan rangka kerja institusi bagi memantau dan menguruskan risiko-risiko tersebut?
Apa yang penting, sewaktu keputusan dibuat kerajaan, pihak-pihak berkuasa telah belajar daripada pengalaman projek ARE dan mempunyai pemahaman yang lebih baik bagaimana menguruskan risiko radiologikal. Menjelang 2008, peraturan dan undang-undang yang mentadbir aktiviti-aktiviti berkaitan telah disemak dan ditingkatkan selaras dengan standard antarabangsa. Tidak mungkin pisang berbuah dua kali di bawah peraturan yang baru ini.
Hal ini menjelaskan mengapa semasa Lynas diberikan kelulusan lesen pengilang, di mana syarikat secara khusus diwajibkan memenuhi standard keselamatan dan amalan yang baik yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (agensi penguat kuasa Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984) dan Jabatan Alam Sekitar (agensi penguatkuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974).
Antara lain, standard-standard ini mentafsirkan jumlah pendedahan radiasi yang dianggap membahayakan pekerja, masyarakat dan persekitaran. Standard ini juga diguna pakai untuk semua fasa projek Lynas: pembinaan, praoperasi, operasi, pengangkutan, pengurusan sisa, pembubaran dan pemulihan.
Ciri utama prosedur kerja yang terlibat adalah kelulusan secara berperingkat yang syarikat Lynas perlu lalui. Sebagai contoh, syarikat perlu memenuhi standard keselamatan yang dikenakan pada fasa pembinaan sebelum ia dapat meneruskan aktiviti ke tahap praoperasi. Dan ia tidak boleh maju ke tahap seterusnya sehingga standard keselamatan yang ditetapkan oleh AELB dan DOE bagi fasa seterusnya itu dipenuhi.
Proses kelulusan sebegini dapat menjamin standard keselamatan yang dikenakan oleh agensi penguat kuasa tidak dapat dilangkaui, ditunda atau dielakkan. Pemantauan dijalankan secara berterusan bagi memastikan ia sentiasa dipatuhi.
Sehingga kini, syarikat Lynas masih belum mengemukakan permohonan atau menerima apa-apa kelulusan bagi maju ke fasa praoperasi.
Panel Bebas Pakar Antarabangsa
Projek Lynas telah dbincangkan di sesi-sesi taklimat awam di Kuantan dan Parlimen pada tahun 2009, tetapi ia menjadi satu topik perdebatan yang hangat selepas insiden Fukushima pada 11 Mac tahun ini.
Sebahagian mereka yang tinggal di sekitar lokasi projek Lynas percaya bahawa projek ini akan menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan yang tidak boleh diterima kepada masyarakat dan persekitaran. Pada pandangan sesetengah penduduk, projek ini perlu ditamatkan.
Hal ini terjadi walaupun terdapat jaminan daripada AELB dan DOE bahawa sehingga kini Lynas telah memenuhi semua standard keselamatan yang dikenakan.
Walaupun kerajaan tetap yakin dengan integriti keputusan yang diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa, tanggungjawab kepada masyarakat, terutamanya penduduk Kuantan, untuk memastikan kesihatan dan keselamatan masih tidak dikompromi. Pertimbangan sebegini sentiasa menjadi keutamaan paling tinggi kerajaan, melebihi segala pertimbangan yang lain.
Oleh itu, pada 22 April, saya mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjemput Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya melantik satu panel bebas dari kalangan pakar-pakar antarabangsa untuk mengkaji semua aspek keselamatan berkaitan projek Lynas.
IAEA telah bersetuju melantik sembilan anggota panel bagi melaksanakan tugasan tersebut. Panel tersebut terdiri daripada seorang ketua dan lapan orang ahli. Kesemua mereka adalah pakar ternama dunia mengenai isu-isu keselamatan radiologikal.
Empat anggota adalah dari agensi IAEA sendiri, manakala lima lagi dari Belanda, Kanada, India, United Kingdom dan Itali. Tiada seorang pun dari negara Australia, China atau Malaysia dijemput untuk menjadi ahli panel bagi mengelak sebarang konflik kepentingan.
Ahli panel memulakan tugasan mereka dengan serta-merta dan melawat Malaysia dari 29 Mei - 4 Jun untuk bertemu anggota masyarakat, wakil-wakil dari Lynas, pegawai-pegawai kerajaan serta melawat tapak lokasi Lynas.
Kerajaan turut mengadakan perancangan terperinci bagi memastikan bahawa sesiapa pun yang ingin mengemukakan representasi kepada ahli panel pakar boleh melakukannya sama ada secara bersemuka atau secara bertulis. Pengumuman umum mengenainya telah disiarkan di semua akhbar utama dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil.
Semasa proses konsultasi yang diadakan di Kuantan dan Putrajaya, wakil-wakil dari persatuan penduduk, badan bukan kerajaan, kumpulan komuniti, parti politik dan badan profesional telah mengambil kesempatan bertemu panel pakar dan mengemukakan pandangan mereka. Antara parti politik yang mengambil bahagian termasuk UMNO, MCA, PKR, Pas dan DAP. Semestinya Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh turut dijemput dan beliau juga menggunakan peluang tersebut mengemukakan hujahnya kepada panel pakar.
Panel tersebut akan menyerahkan penemuan dan cadangan mereka kepada kerajaan pada akhir bulan ini, dan kerajaan akan menjadikan ia satu dokumen umum.
Apakah langkah seterusnya? Bagaimana isu Lynas dapat diselesaikan?
Keputusan kerajaan mengenai masa depan projek ini akan dibuat berpandukan beberapa asas. Pertama, kesihatan dan keselamatan rakyat adalah tunjang keutamaan kerajaan. Hal ini melangkaui semua pertimbangan lain, dan sebarang keputusan terhadap Lynas tidak akan mengkompromi asas tersebut.
Kedua, setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan fakta, bukan emosi atau pertimbangan politik. Panel pakar IAEA yang dilantik akan menentukan fakta-fakta dalam kes ini, dan keputusan kerajaan akan dipandu oleh penemuan dan cadangan yang dikemukakan.
Ketiga, kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan awam yang membina mengenai isu ini, dan berpandangan bahawa ia merupakan satu komponen penting dalam proses demokrasi. Di pihak kerajaan, kami telah berusaha menyumbang kepada proses ini dengan memastikan bahawa siapa pun yang ingin mengemukakan pandangan kepada panel pakar boleh melakukannya sama ada secara langsung atau secara bertulis.
Keempat, kerajaan sentiasa telus kepada masyarakat mengenai isu ini. Semua maklumat dan laporan awam yang berkaitan dengan projek Lynas boleh diakses melalui laman sesawang yang berkaitan.
Panduan sebegini memastikan integriti dalam proses kerajaan membuat keputusan serta keputusan yang bakal diumumkan nanti terpelihara.
Hanya tinggal 10 hari saja lagi sehingga panel pakar mengemukakan laporannya. Sehingga waktu tersebut, semua pihak perlulah bertahan dari membuat sebarang komen yang bersifat pre-jugde.
Saya berpendapat para pelabur menyambut baik hakikat bahawa kerajaan ini membuat keputusan berdasarkan fakta, dan tidak bertindak sewenang-wenangnya.
Hal ini juga mengingatkan para pelabur supaya menjadi warga korporat yang bertanggungjawab di negara mereka menjalankan perniagaan. Mereka perlu mematuhi dan melaksanakan standard dan tataurus yang sama sekali tidak lebih rendah daripada yang dipraktikkan di negara asal mereka. Saya fikir ini adalah harapan yang munasabah, dan tiada pelabur sepatutnya mempunyai masalah mengenai perkara ini.
DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED
Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri
(Sumber : Utusan Malaysia 20.06.2011)
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor