Pages

Tuesday, April 12, 2011

Rakyat Sentiasa Menyokong BN

Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin rakyat masih teguh di belakang Barisan Nasional (BN) kerana umum mengetahui pembangunan di Sarawak berjalan rancak.
Naib Ketuanya Pandi Suhaili berkata, kalau dibandingkan dengan 20 atau 23 tahun lalu, Sarawak ketika itu adalah negeri termundur tetapi dengan hasil kerja kuat dan kebijaksanaan BN negeri dan pusat, keadaan itu berjaya diubah.

"Rakyat sebenarnya sudah mengetahui dan merasakan pembangunan di bawah kerajaan BN yang berjaya menghubungkan masyarakat luar bandar dan bandar dengan adanya kemudahan seperti jalan raya dan kemudahan asas api dan air di Sarawak," katanya di sini.

Bagi memastikan rakyat Sarawak tidak tertinggal jauh di belakang, beliau berkata generasi muda di Bumi Kenyalang harus turut bersama merencana dan melaksanakan pembangunan negeri Sarawak.

"Kita faham kemahuan generasi baru sentiasa berubah... kerajaan juga faham dengan perubahan zaman, kita kena sentiasa ikut rentak perubahan," katanya.

Kerajaan, katanya, melalui pelbagai agensi merancang pelbagai program bagi generasi muda supaya mereka faham apakah sebenarnya perjuangan kerajaan BN.

Pandi, yang juga Ketua Pemuda PBB Jepak, berkata, mereka hendaklah pandai menangkis dan membuat perbandingan antara dasar kerajaan BN yang telah terbukti berjaya mengubah nasib rakyat di Sarawak dengan tohmahan pembangkang yang kebanyakannya tidak berasas.

Menurutnya, kerajaan sentiasa merancang dan berusaha untuk membangunkan Sarawak khususnya untuk penduduk di luar bandar menikmati kemajuan.

"Bagi penduduk Sarawak khususnya di wilayah tengah, kita telah dijanjikan dengan satu lonjakan ekonomi hasil perancangan kepimpinan negeri yang akan melaksanakan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan pembangunan Tanjung Manis dan Hub Halal Tanjung Manis," katanya.

Mengulas tentang calon muda dalam Pergerakan Pemuda PBB, Pandi berkata ia membuktikan kerajaan BN sentiasa mengikut rentak perubahan dengan memberi kepercayaan kepada muka baru, khususnya dalam kalangan pemuda.

PBB mencalonkan tiga pemuda iaitu Mohamad Razi Sitam bertanding kerusi Saribas, Dennis Ngau (Telang Usan) dan Ripin Lamat (Lambir) pada pilihan raya negeri 16 April.

Ruang dan peluang yang diberikan kepada pemimpin muda akan dapat meneruskan kesinambungan pemerintahan yang baik antara orang lama dan orang baru, kata Pandi. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor