Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 2, 2020

TAK LEBIH 10KM DARI RUMAH : HAK GERAKAN PKP FASA 2



KUALA LUMPUR: Orang ramai hanya dibenarkan bergerak dalam radius tidak lebih 10km dari rumah untuk membeli makanan, barang keperluan atau ubat susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang memasuki fasa ke-2 mulai semalam sehingga 14 April ini.


Menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), rakyat tidak boleh disertai orang lain untuk berbuat demikian, kecuali dengan alasan munasabah.


“Peraturan itu melibatkan arahan kawalan pergerakan, iaitu tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain,” menurut peraturan itu.


Seseorang hanya boleh bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke kawasan tempatan jangkitan lain bagi tujuan tertentu.

  
Ia termasuk untuk membeli, membekal atau menghantar makanan, keperluan harian, ubat atau makanan tambahan (supplement); mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan; melaksanakan tugas rasmi atau tugas berhubung sebarang perkhidmatan perlu.


Menurut peraturan itu, jika seseorang bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke kawasan tempatan jangkitan lain bagi tujuan membeli makanan, keperluan harian, ubat atau makanan tambahan, pergerakannya hanya dalam radius tidak lebih 10km dari rumahnya atau ke tempat paling hampir dengan kediamannya dan tidak boleh disertai orang lain, melainkan ada sebab munasabah.


Untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan pula, mereka boleh disertai orang lain, tetapi juga dalam radius tidak lebih 10km dari rumah atau ke tempat paling hampir dengan kediamannya.


Bagi tujuan melaksanakan tugas rasmi, seseorang individu hendaklah mengemukakan surat kebenaran majikan jika dikehendaki penguat kuasa dan untuk melaksanakan tugasnya berhubung dengan perkhidmatan asas, individu itu juga perlu mengemukakan surat kebenaran majikan, jika dikehendaki.


Bagi mengawal pergerakan orang yang membeli makanan, peraturan itu menetapkan peniaga hendaklah menjalankan perniagaan hanya secara pandu lalu, bawa pulang atau penghantaran.


Peraturan itu menjelaskan rakyat perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pegawai polis di balai berhampiran terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan atas sebab khas dari satu tempat ke tempat lain.


Dalam tempoh itu, tiada seorang pun boleh berhimpun atau terlibat dalam perhimpunan di mana-mana premis, sama ada untuk tujuan keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan, namun upacara pengebumian boleh diadakan dengan syarat orang yang hadir hendaklah dalam bilangan minimum.


Perkhidmatan utama yang meliputi 10 bidang, iaitu makanan, air, tenaga, komunikasi dan internet, keselamatan dan pertahanan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan, penjagaan kesihatan dan perubatan, termasuk makanan tambahan, perbankan dan kewangan, e-dagang serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan itu.


Individu yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan itu boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


SUMBER :   BERNAMA


0 comments:

share2