Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 9, 2018

[JERANTUT] PAKU BERTABURAN DEPAN RUMAH



Paku bertaburan depan rumah



Penduduk Felda Sungai Retang dekat sini masih trauma dengan kejadian paku bertaburan di hadapan rumah mereka.

Dalam kejadian 1 Mac lalu, sebanyak 10 rumah mengalami kejadian sama yang dipercayai perbuatan khianat.

Paku sepanjang kira-kira 6 sentimeter itu difahamkan ditabur di rumah peneroka yang memiliki kereta.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Retang, Suran Jaafar turut menjadi mangsa.

Katanya, dia hanya menyedari kejadian itu pada pagi 1 Mac lalu sebaik sahaja keluar dari rumahnya.

"Saya dapati ada sekitar 10 hingga 15 paku bertaburan di hadapan rumah.

“Pada mulanya saya sangkakan ia hanya ditabur di hadapan rumah saya, rupanya ada juga antara penduduk di tanah rancangan ini yang menerima nasib sama,” katanya.





Katanya, ada antara penduduk di kawaan itu mendakwa, kemungkinan tindakan menabur paku di hadapan rumah adalah perbuatan ilmu hitam. 

Bagaimanapun, katanya selepas pemerhatian, penduduk mendapati ia mungkin perbuatan khianat sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan kerana paku itu hanya ditabur di hadapan rumah penduduk yang ada kereta.

Suran bersama penduduk yang terlibat bagaimanapun tidak mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

“Ini kerana, setakat ini belum lagi ada berlaku kejadian tayar kereta penduduk pancit disebabkan tindakan itu,” katanya.

Beliau memberitahu, kes berkenaan adalah kejadian pertama berlaku di tanah rancangan itu.

Suran turut terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

“Kami harap apa yang berlaku ini tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


0 comments:

share2