Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 20, 2017

HELAH 'BERKUBANG' TAK MENJADI


Helah ‘berkubang’ tak menjadi


Kuala Terengganu - Sekumpulan kaki nombor ekor sanggup ‘berkubang’ di dalam kawasan paya hampir sejam semata-mata mengelak diri daripada dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas kedai runcit yang menjadi sarang membeli nombor ekor diserbu, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan nekad tersebut tidak berhasil apabila 11 kaki nombor ekor termasuk lapan penduduk setempat dan tiga warga Indonesia berjaya ditahan dalam serbuan kira-kira jam 3 petang, di sebuah kedai runcit, di Santong, Paka, Dungun.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam di sekitar kawasan itu yang tidak tahan melihat aktiviti pembelian nombor ekor secara berleluasa di kedai runcit tersebut, sejak kebelakangan ini.

Jelasnya, pemilik kedai runcit itu dipercayai menjalankan operasi jual beli nombor ekor kepada ‘kaki nombor ekor’ yang tinggal di kawasan itu sambil berselindung di sebalik operasi jualan barangan runcitnya.

“Semasa serbuan, didapati sekumpulan lelaki sedang asyik membuat urusan jual beli nombor ekor sebelum masing-masing bertempiaran lari sejurus menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Tanpa mempedulikan keselamatan diri, mereka sanggup bersembunyi di dalam kawasan semak selain nekad terjun di dalam kawasan berpaya dan ‘berkubang’ di dalamnya hampir sejam semata-mata mengelak daripada ditahan.

“Namun, usaha mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu gagal apabila pihak penguat kuasa akhirnya berjaya menahan mereka,” katanya.

Kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu kerana berjudi, bagaimanapun mereka dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun.


0 comments:

share2