Pages

Monday, January 9, 2017

REMAJA MENGAKU DAESH MAHU LETUPKAN PUTRAJAYA


Remaja mengaku Daesh mahu letupkan Putrajaya


Kota Bharu - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditahan polis berhubung siri panggilan ugutan bom di Kompleks Mahkamah Kota Bharu dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, bulan lalu, turut mengaku mahu meletupkan Putrajaya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, pengakuan penuntut sebuah kolej jurusan Diploma Makmal Perubatan di Kota Bharu tersebut dibuat ketika disoal siasat polis selepas ditahan di sebuah rumah di Telipot, di sini, Jumaat lalu.

Katanya, remaja terbabit ditahan susulan penemuan satu nota ancaman bertulis, “Saya di sini akan membuat tindakan dan bom di tempat ini” – ‘Militan Daesh’, yang ditemui seorang pengawal keselamatan di sebuah kompleks membeli-belah di Lembah Sireh, di sini, pada 3 Disember, tahun lalu.

“Nota itu dijumpai di dalam sebuah peti cadangan milik kompleks berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan dan seterusnya kepada polis. Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup yang dijalankan polis mendapati imej suspek dirakam memasukkan nota itu ke dalam kotak tersebut.

“Pada awalnya, suspek yang berasal dari Pasir Hor itu mengaku memasukkan nota itu ke dalam peti cadangan berkenaan, bagaimanapun pengakuannya itu berubah-ubah, sekejap mengaku, sekejap pula, tidak mengaku,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Ab Rahman berkata, suspek juga ada memberitahu polis, dia menulis nota ancaman itu hanya bertujuan suka-suka, bagaimanapun apa-apa sahaja keterangannya direkodkan pihak polis dan perbuatannya itu dianggap sebagai satu jenayah yang sangat serius serta bukan sebagaimana gurauan seperti kata suspek.

“Kami menyiasat kes ini dari pelbagai sudut termasuk pembabitan suspek dalam siri panggilan ancaman bom di Kompleks Mahkamah Kota Bharu; Kompleks Mahkamah Syariah Tunjong, Pejabat Tanah dan Galian serta LTSIP, bulan lalu.

“Kaitan suspek dengan panggilan ugutan mahu meletupkan seorang wartawan wanita seperti mana yang diterima wartawan dari Sinar Harian pada bulan lalu itu turut disiasat pihak polis,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya memohon tempoh lanjutan reman terhadap anak sulung kepada seorang guru lelaki terbabit. Lanjutan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nurul Huda Akmal Mohamed.

“Reman suspek dibenarkan untuk disambung dua hari lagi berkuat kuasa hari ini sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, suspek ditahan di sebuah rumah di Telipot, di sini, pada jam 4 pagi selepas imejnya dirakam kamera litar tertutup berhampiran peti cadangan tempat nota ugutan tersebut dijumpai. Suspek kemudiannya dikenakan perintah tahanan reman selama lima hari sehingga hari ini.

Sinar Harian turut melaporkan kompleks mahkamah dan LTSIP, di sini, menerima ancaman bom daripada seorang lelaki melalui panggilan telefon ke bilik gerakan polis memberitahu akan ada empat lelaki menaiki van datang dan meletupkan kedua-dua bangunan itu, pada 28 Disember, tahun lalu.

Berita itu disiarkan Sinar Harian pada keesokannya dan suspek sama dipercayai menghubungi wartawan wanita Sinar Harian serta mengancam mahu meletupkannya. Suspek terbabit menggunakan nombor telefon yang sama ketika membuat panggilan ugutan terhadap mahkamah dan LTSIP.

Pada sebelah malam hari sama, mahkamah sekali lagi diugut untuk dibom, manakala Kompleks Mahkamah Syariah Tunjong, di sini, juga menerima ancaman sama, pada tengah hari 30 Disember, tahun lalu. 

Kedua-dua kompleks mahkamah tersebut pernah menerima ancaman untuk diletupkan pada 29 November tahun sama.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor