Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 8, 2017

PERANG DINGIN BAHARU?


Perang dingin baharu?


Majalah Forbes menamakan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai individu paling berkuasa di dunia susulan tindakannya 'merampas' wilayah Crimea di Ukraine dan campur tangan di Syria telah menjadikan Moscow sebagai kuasa paling kuat tanpa kita sedar ketika ini.

Bagaimanapun, Barack Obama pada akhir bulan lalu telah mengumumkan sekatan terhadap kuasa besar itu sebagai tindak balas terhadap dakwaan Rusia campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 8 November lalu.

Tindakan segera Obama sebelum penggal perkhidmatannya yang berakhir 20 Januari ini telah mencetus pelbagai reaksi dan kebimbangan terhadap hubungan diplomatik antara AS dan Rusia yang dikhuatiri akan mencetus perang dingin baharu.

Kremlin turut mengecam sekatan baharu itu yang didakwa melanggar undang-undang selain berikrar 'membalas dendam' walaupun Putin menyatakan beliau enggan bertindak balas dengan keputusan Obama sebaliknya akan berusaha memulihkan hubungan dengan Washington apabila ia berada di bawah kepimpinan, Donald Trump. 

Sekatan adalah respons ke atas serangan siber digelar Grizzly Steppe dipercayai didalangi Moscow terhadap parti Demokrat yang membawa kepada kemenangan mengejut Trump.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) turut memberi butiran bagaimana penggodam Rusia menceroboh emel pegawai Demokrat bagi mempengaruhi pilihan raya AS.

Laporan bersama setebal 13 muka surat itu mendedahkan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menghantar emel malware kepada lebih 1,000 penerima termasuk kerajaan AS pada pertengahan 2015.

FBI mendakwa penggodam dapat akses curi maklumat sensitif termasuk emel dalaman yang membawa kepada kebocoran data beberapa anggota kanan parti.

Menurut laporan FBI, antara sasaran FSB adalah Jawatankuasa Demokrat Kebangsaan (DNC) yang sekali lagi digodam pada awal 2016 oleh Agensi Risikan Utama (GRU).

Ia dipercayai telah menggunakan kaedah spearphishing (menyamar sebagai individu sasaran) dan kempen menyasarkan pertubuhan kerajaan, infrastruktur kritikal, badan pemikir, universiti, badan politik serta syarikat. 

Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan FBI kini percaya insiden yang didedahkan laman pembocor maklumat, WikiLeaks bukan semata-mata bertujuan mengganggu proses pilihan raya AS tetapi lebih khusus untuk menewaskan Clinton, sekali gus membantu kemenangan simpati Trump.

Rusia bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkaitan penggodaman itu.


0 comments:

share2